SELEPAS enam bulan mengikat tali pertunangan, pelakon dan penyanyi Didi Astillah sah bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Muhammad Nur Fiqrat Ismat Diniey dengan sekali lafaz, hari ini.
Pasangan yang memilih bernikah di Hari Asyura itu dinikahkan jurunikah, Ustaz Mohammad Nazri.
Dalam majlis serba putih yang disaksikan keluarga dan kenalan rapat, Didi atau nama lengkapnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 29, menerima mas kahwin sebanyak RM300 sebagai simbolik penyatuan mereka sebagai suami isteri.
Pihak pengantin perempuan menerima tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang kepada pihak pengantin lelaki.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tampil menggayakan baju Melayu rona putih.
Sebelum ini, pelantun lagu Fikirkan Kamu itu menerima kejutan lamaran daripada Diniey pada sambutan Tahun Baharu 2026.
Pada 11 Januari, mereka akhirnya bertunang dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur. – HIBGLAM
