PELAKON Alif Hadi mendedahkan watak Rashid yang dijayakan dalam naskhah terbaharunya, Ikatan Terlarang ada persamaan dengan kisah silamnya apabila pernah dicurangi bekas kekasih.
Bagi pemilik nama penuh Muhammad Alif Abdul Hadi, 37, itu peluang menggalas watak tersebut seolah-olah menjadi satu ruang untuknya melepaskan segala rasa yang terpendam di lubuk hati.
“Sejujurnya, apa yang terjadi kepada watak Rashid pernah saya lalui satu ketika dahulu. Jadi, saya tahu macam mana dia rasa.
“Perkara itu (dicurangi) jadi kat saya dulu. Saya ada satu ‘alter ego’ yang macam ‘sebenarnya ini aku nak buat tapi aku tak boleh sebab bukan dibesarkan dengan cara begitu’.
Jadi watak Rashid adalah apa yang saya betul-betul nak luahkan. Bila dicurangi dan pasangan pula berselingkuh dengan suami orang.
“Karakter ini ada kejujuran, nampak Rashid ada, Alif Hadi pun ada. Saya memang rasa apa yang Rashid rasakan,” katanya kepada HibGlam selepas program MeleTOP, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pelakon filem Jemputan Ke Neraka itu menegaskan bahawa perkongsian tersebut hanyalah sekadar rujukan untuk menjiwai emosi watak berkenaan dan bukannya berniat untuk membuka pekung lama atau menuding jari kepada mana-mana pihak.
Saya tak sebut nama sesiapa. Saya pun dah nak masuk 40 tahun, takkan seorang saja (bekas kekasih).
“Saya hanya berkongsi pengalaman tentang bagaimana hubungan saya dengan watak Rashid itu.
“Selebihnya saya rasa pilihan orang untuk berdebat. Tapi saya takkan masuk campur sebabnya saya hanya berkongsi mengenai watak saja,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Alif kini terlibat dalam drama Ikatan Terlarang yang ditayangkan di Astro Ria bermula 8 Jun lalu.
Selain Alif, drama arahan Riza Baharudin turut dibintangi Hisyam Hamid, Erysha Emyra, Mawar Rashid, Adriana Adnan, Raja Azura dan Arash Mohd. – HIBGLAM
