Big Stage X Rocketfuel, 10 bintang muda buru gelaran juara

SELEPAS enam musim mencungkil bintang dalam kalangan bakat yang sedang bersinar, program realiti nyanyian popular kembali dengan evolusi luar jangka menerusi Big Stage X Rocketfuel.

Bersiaran secara langsung bermula 28 Jun nanti, musim ini bukan hanya pertandingan, sebaliknya sebuah misi besar melahirkan sensasi hiburan generasi seterusnya.

Kerjasama strategik bersama Rocketfuel Entertainment memperkukuh ekosistem pembangunan bakat, sekali gus membuka ruang lebih luas buat peserta membina kerjaya selepas tirai pertandingan dilabuhkan.

Sepanjang lapan minggu mendebarkan, 10 peserta terdiri daripada sembilan penyanyi solo dan satu duo iaitu Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta Adam & Nazmie bakal berentap mempamerkan keupayaan masing-masing.

Setiap mereka hadir dengan warna tersendiri, membawa harapan untuk menawan hati penonton dan juri. Lebih menarik, kesemua peserta tidak terikat dengan mana-mana label rakaman, memberi ruang kebebasan untuk dibentuk sejak awal dalam ekosistem profesional.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, Big Stage bukan sahaja medan hiburan, sebaliknya platform membina masa depan.

“Selama enam musim, Big Stage terbukti  bukan sekadar pertandingan nyanyian, tetapi ruang membentuk bakat untuk menyerlahkan potensi sebenar mereka.

“Musim ini lebih istimewa apabila Rocketfuel menjadi sebahagian identiti program. Peserta bukan sahaja membuat persembahan, malah dibimbing secara profesional dengan peluang industri lebih luas.

“Kami mahu lahirkan generasi artis bukan sahaja berjaya di pentas tempatan, tetapi mampu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada HibGlam.

RAQIM menegaskan penganjuran kali ini bakal melahirkan generasi artis bukan sahaja berjaya di pentas tempatan tetapi mampu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Tambahnya lagi, pemilihan peserta dibuat dengan teliti menerusi saringan ketat demi memastikan hanya suara terbaik berdiri di pentas.

“Semua peserta tahun ini tidak terikat dengan mana-mana label. Kami mahu pastikan pembangunan mereka selari dengan program sejak awal.

“Buat masa ini, kita tampil dengan 10 peserta, namun tidak mustahil ada kejutan. Dalam dunia hiburan, apa sahaja boleh berubah dengan pantas,” ujarnya.

Dalam pada itu, kekuatan vokal menjadi sandaran utama produksi dalam menarik perhatian penonton.

“Kami yakin dengan pilihan peserta kerana mereka telah melalui proses saringan ketat. Mungkin nampak mentah, tetapi kami percaya mereka mampu berkembang.

“Daripada segi tarikan, setiap program ada segmen penonton tersendiri. Big Stage juga tampil dengan pendekatan berbeza, mengambil kira maklum balas penonton untuk memperkukuh kandungan,” jelasnya.

Menariknya, pemenang utama bakal membawa pulang Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 merangkumi penghasilan single, video muzik, pembangunan imej, latihan vokal, pengurusan media sosial serta peluang promosi merentas platform Astro.

Lebih signifikan, tiga bintang terbaik akan dipilih menerusi gabungan undian penonton pada pentas akhir.

Barisan juri tetap musim baharu turut menampilkan gabungan figura berpengaruh iaitu Hael Husaini, Akim Ahmad dan Aisha Retno, disokong juri jemputan setiap minggu bagi memberikan penilaian lebih menyeluruh.

Penjurian Big Stage 100 peratus ditentukan juri profesional, menjadikan kualiti sebagai kayu ukur utama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok