DALAM landskap sinema seram Nusantara yang semakin matang, Khadam muncul sebagai satu hela nafas segar yang bukan hanya mencekam tetapi berbentuk penyelaman mendalam ke dalam mitos saka yang diwarisi turun-temurun.
Dibuka dengan suasana 1950-an Malaysia yang penuh misteri, filem arahan Shamyl Othman itu memperkenalkan Melor, diperankan dengan hebat oleh aktres Indonesia, Aghniny Haque.
Selepas kematian ibunya, Melor terpaksa mewarisi ‘Khadam’ – roh ghaib yang muncul sebagai versi dirinya yang lebih ‘sempurna’.
Apa yang bermula sebagai warisan keluarga biasa, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila khadam mula mengambil alih peranan sebagai isteri dan ibu.
Terjemahan karakter hebat
Remy Ishak sebagai Awang memberikan persembahan yang kuat, yang membawa ketegangan emosi dalam hubungan suami-isteri yang semakin retak.
Sinematografi filem ini sungguh memukau. Pencahayaan redup, bayang-bayang panjang di rumah kayu tradisional, dan bunyi latar yang menusuk jiwa berjaya mencipta suasana seram yang autentik.

KUALITI lakonan pelakon utama Khadam iaitu Aghniny Haque membuatkan karya ini sangat mahal dari perspektif kebanyakan penonton.
Setiap bingkai terasa bagaikan seperti lukisan hidup dari zaman silam.
Aghniny membawa watak Melor dengan penuh intensiti walaupun tanpa ‘dialog’ lazim. Ekspresi matanya yang penuh ketakutan dan tekad ibu yang sanggup berkorban segalanya menjadi tumpuan utama.
Siti Khadijah Halim pula menyuntik tenaga muda yang segar, manakala Zarra Zhaff dan Karl’ El (adik-beradik sebenar) menambah lapisan emosi keluarga yang rapat.
Sementelah itu, June Lojong turut memberikan sentuhan veteran yang solid.
Cerita Khadam bijak menganyam elemen psikologi dengan folk horror, bukan sekadar lompatan mengejut, tetapi ketakutan yang perlahan meresap ke dalam minda penonton.
Tema pengorbanan ibu menjadi teras utama. Melor berjuang menyelamatkan anaknya daripada entiti gelap yang semakin menguasai hidupnya. Ini mencerminkan realiti ramai wanita yang sanggup kehilangan segalanya demi keluarga.
Kekuatan ‘tema’, keluarga toksik
Dialog dalam Bahasa Melayu klasik berpadu dengan aksen zaman itu menambah keaslian. Penonton dapat merasai budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu era tersebut dengan lebih mendalam.
Efek khas filem ini tidak keterlaluan, tetapi cukup berkesan. Penampilan khadam yang mirip Melor tetapi dengan aura yang menggigilkan berjaya mencetuskan rasa tidak selesa yang berpanjangan.
Pacing cerita agak perlahan di awal, membina ketegangan dengan teliti. Namun, separuh kedua filem ini meletup dengan ‘twist’ yang tidak diduga, membuat penonton terpaku di kerusi.
Pengarah berjaya mengimbangi elemen seram dengan drama keluarga. Bukan mudah untuk menggabungkan kedua-duanya tanpa terasa dipaksa, tetapi Khadam melakukannya dengan bergaya.
Bunyi latar belakang yang minimalis – hanya angin, kayu berkeriut, dan bisikan samar lebih menakutkan daripada muzik kencang sekali gus membuktikan bahawa ketenangan kadangkala lebih mengerikan.
Filem ini juga menyentuh isu warisan keluarga yang toksik. Bagaimana sesuatu yang diwarisi boleh menjadi kutukan yang memusnahkan generasi seterusnya. Mesej yang relevan hingga ke hari ini.
Persembahan barisan pelakon adalah antara kekuatan terbesar. Kimia antara Aghniny dan Remy terasa natural, membawa kedalaman emosi yang jarang dilihat dalam genre seram tempatan.
Walaupun ada sedikit klise dalam genre horror, filem ini berjaya menyegarkannya dengan akar budaya Nusantara yang kuat.
Saka bukan sekadar hantu, tetapi sebahagian daripada kepercayaan masyarakat.
Penonton akan keluar dari panggung dengan pelbagai emosi – takut, sedih, dan mungkin merenung tentang pengorbanan ibu sendiri. Itulah kehebatan Khadam.
Skor muzik yang halus menyokong suasana tanpa mengganggu. Setiap nota seolah-olah menyusup ke dalam urat nadi, meningkatkan ketegangan secara perlahan.
Bagi peminat genre horror psikologi, Khadam adalah satu hidangan yang tidak boleh dilepaskan; bukan sekadar menakutkan, tetapi juga menyentuh hati boleh memungkinkan air mata mengalir deras terutama pada penutup naratif filem. – HIBGLAM
