HANYA berbaki dua hari sebelum menjejakkan kaki ke set penggambaran, pelakon Datin Elvina Mohamad terpaksa melepaskan sebuah projek telefilem terbaharu atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Menurut Elvina, 31, keputusan tersebut dibuat selepas pihak pengarah, penerbit dan stesen televisyen enggan bertolak ansur mengenai tuntutan melakonkan beberapa babak berani yang dianggap keterlaluan.
“Kadang-kadang naluri kita ini betul. Rasa teruja tapi dalam masa sama rasa macam berat.
“Entah, susah nak gambarkan. Sepatutnya lusa dah nak masuk set untuk telefilem.
Dah teruja sebab lama tak berlakon kan, tapi akhirnya tak jadi sebab pengarah, penerbit dan stesen televisyen berkeras nak buat babak yang bagi saya agak keterlaluan,” katanya dalam Threads.
Mengulas lanjut, pelakon drama Seadanya Aku itu mendedahkan candangannya untuk menggunakan teknik helah kamera (camera trick) ditolak.
“Ada babak kena dukung (daring) dan ada satu lagi babak yang saya memang tak selesa langsung, bagi saya agak keterlaluan.
Nak cakap pun geli tapi bila saya minta tukar screenplay (lakon layar) atau guna ‘camera trick’, katanya tak boleh,” luahnya lagi.
Meskipun terpaksa melepaskan peluang untuk kembali beraksi, Elvina tetap mempertahankan prinsip dan maruah diri selain reda tiada rezeki.
“Pada akhirnya saya tetap ada batasan sendiri dan ada perkara yang saya memang tak selesa nak buat.
“Tidak mengapa, mungkin kerja ini tidak ditakdirkan untuk saya. Ada rezeki lain insya-Allah,” ujarnya.
Sebelum ini, Elvina meraih kecaman ramai kerana menganggap melampaui batas apabila melakonkan babak di atas katil bersama pelakon Hazeeq Deen.
Bagaimanapun, Elvina tampul menegaskan dia tidak melakonkan adegan ranjang sebaliknya menggunakan ‘stunt double’ bagi menggantikan dirinya. – HIBGLAM
