Kepercayaan Hawa Rizwana jadi taruhan Estika Medispa

POPULARITI semata-mata bukan lagi ukuran utama dalam pemilihan duta jenama, sebaliknya kredibiliti dan kepercayaan menjadi faktor penentu bagi Estika Medispa apabila memilih pengacara dan pelakon terkenal, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan sebagai wajah rasmi mereka.

Keputusan strategik itu ternyata membuahkan hasil apabila pusat kecantikan tempatan yang kini memasuki tahun ke-11 operasi tersebut merekodkan peningkatan jualan dan kesedaran jenama yang memberangsangkan sejak kolaborasi berkenaan dimeterai.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Estika Medispa, Dr. Mohd Hanafi Abdull Habir, dalam landskap industri kecantikan yang semakin kompetitif, sesebuah jenama memerlukan lebih daripada sekadar perkhidmatan berkualiti untuk terus relevan.

“Kolaborasi bersama Hawa Rizwana telah membawa Estika Medispa ke khalayak yang lebih luas. Hari ini, lebih ramai rakyat Malaysia mengenali kami dan yang lebih penting, mereka mempercayai kami. Itulah yang kami cari,” katanya.

Jelas beliau, Hawa dipilih bukan sekadar kerana namanya yang dikenali ramai, tetapi kerana imej positif dan kredibiliti yang dibina sepanjang bergelar personaliti televisyen.

Berkongsi mengenai kerjasama tersebut, Hawa mengakui beliau tidak mudah menerima tawaran sebagai duta jenama dan sentiasa menitikberatkan keserasian nilai sebelum membuat keputusan.

Saya tidak mudah menerima tawaran ambassador. Namun selepas mengetahui lebih lanjut mengenai Estika Medispa, termasuk komitmen mereka terhadap kualiti dan kepercayaan pelanggan, saya yakin ini adalah jenama yang boleh saya wakili dengan penuh keyakinan,” ujarnya.

Impak kerjasama itu tidak mengambil masa lama untuk dirasai apabila kesedaran terhadap jenama Estika Medispa meningkat dengan ketara, khususnya dalam kalangan wanita Malaysia yang semakin mementingkan penjagaan diri dan kecantikan.

Bagi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Estika Medispa, Dr. Abdul Haq Ab Wasa, pencapaian tersebut membuktikan bahawa pemilihan duta yang tepat mampu memberikan nilai tambah kepada sesebuah perniagaan.

Keputusan untuk melantik Hawa Rizwana sebagai ambassador kami adalah antara keputusan terbaik yang pernah dibuat. Jualan Estika Medispa meningkat selepas kolaborasi ini bermula dan itu adalah bukti paling jelas bahawa strategi yang tepat mampu mengubah trajektori sesebuah jenama,” katanya.

Kini dengan 37 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia, Estika Medispa terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri kecantikan tempatan. Lebih daripada sekadar dikenali, jenama itu kini semakin dipercayai pengguna hasil gabungan perkhidmatan berkualiti dan kerjasama bersama figura yang diyakini ramai.

Untuk rekod, Estika Medispa telah beroperasi selama 11 tahun dan memiliki 37 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok