DALAM dunia filem seram, ketakutan sering disandarkan pada makhluk ghaib, namun hakikat paling ngeri sebenarnya lahir daripada sikap manusia sendiri.
Itulah nadi utama Polong, naskhah baharu penuh gelap dan berlapis emosi, mengheret penonton menyelami sisi paling kelam dalam jiwa insan.
Ujar pengarah, Zulkarnain Azhar, kekuatan utama sesebuah filem seram bukan terletak pada visual atau kejutan, sebaliknya pada keupayaan mengaitkan cerita dengan realiti manusia.
“Untuk dapatkan elemen seram, cerita mesti dekat dengan diri kita. Watak-watak dalam filem ini semuanya orang biasa, sangat ‘grounded’, tetapi saya letakkan mereka dalam situasi luar biasa.
“Apabila kita lihat manusia biasa berada dalam keadaan ekstrem, di situlah emosi penonton terbuka. Kita akan bertanya, kalau kita di tempat mereka, apa kita akan buat?
Kalau saya sendiri menulis skrip tetapi tidak rasa takut, besar kemungkinan cerita tak akan menjadi,” katanya kepada HibGlam.
Lebih menarik, pemilihan judul Polong sarat simbolik tentang manusia dan nasib.
Saya pilih ‘polong’ kerana jarang diangkat dalam filem tempatan. Pontianak, pocong semua sudah ada. Dalam kepercayaan, polong terperangkap dalam botol. Sama juga dengan watak dalam filem ini, mereka terperangkap dalam nasib, masa lalu dan pilihan sendiri.
“Polong simbol kepada setiap karakter dalam cerita ini. Polong cuba memperlihatkan bahawa ada warisan tertentu bukan membawa perlindungan, tetapi kehancuran.
“Ketakutan paling besar bukan datang daripada makhluk ghaib semata-mata, tetapi daripada manusia sendiri yang sanggup melakukan apa sahaja demi keinginan,” ujarnya.
Paling penting kata Zulkarnain, idea filem tersebut bukan muncul semalaman sebaliknya tersimpan hampir sedekad sebelum direalisasikan.
“Saya menulis draf sekitar 2016. Hampir 10 tahun saya simpan. Saya memang jenis suka tulis dulu supaya idea tidak hilang.
“Apabila ada peluang dan pelabur bertanya, saya buka semula fail lama, olah semula, tambah baik karakter dan gabungkan pelbagai cebisan pengalaman.
“Bila kita sudah tahu arah cerita, proses menulis jadi lebih mudah. Saya buat beberapa draf kerana saya juga penerbit dan pengarah. Jadi saya sendiri tentukan hala tuju,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata inspirasi Polong pula datang daripada pelbagai sumber termasuk kes jenayah berunsur ‘supernatural’ dari dalam dan luar negara.
“Saya rujuk banyak kisah dari Indonesia dan Thailand, Amerika Syarikat.
“Saya terinspirasi daripada filem seperti Texas Chainsaw Massacre, bukan meniru, tetapi mengambil pendekatan bagaimana elemen sebenar dijadikan cerita fiksyen.
“Bagi saya, elemen ‘‘supernatural ‘hanya ‘springboard’. Cerita sebenar tetap tentang manusia dan pilihan mereka,” ungkapnya.

MIMI Lana sebagai Fatima, seorang wartawan yang membongkar rahsia gelap namun akhirnya membebaskan kuasa jahat.
Bagi pelakon utama, June Lojong yang menggalas watak Maria Hadi, pengalaman membawakan karakter tersebut meninggalkan kesan mendalam.
“Watak ini sangat berat kerana banyak emosi perlu disimpan. Maria perlu kelihatan tenang luaran, tetapi dalaman penuh kekacauan, penyesalan dan kesedihan terhadap keluarga.
“Paling mencabar, saya tidak boleh tunjukkan semua emosi secara terang-terangan kepada penonton,” ceritanya.
Mimi Lana yang memegang watak Fatima turut mengakui cabaran besar datang daripada aspek fizikal terutama penggunaan mekap efek,”ujarnya.
Polong mengangkat kisah Maria Hadi, wanita yang pernah terjerumus dalam amalan ilmu hitam sebelum cuba menebus dosa namun bayangan silam terus menghantui, malah menular kepada generasi seterusnya.
Kisah berkembang apabila Fatima, seorang wartawan, membongkar rahsia gelap tersebut sehingga membebaskan entiti misteri.
Dalam usaha menghentikan sumpahan, dia berganding dengan Marissa, anak Maria yang terperangkap antara menerima warisan gelap atau memutuskannya buat selama-lamanya.
Diterbitkan Golden Star Pictures Sdn. Bhd. dengan sokongan 10 Star Cinemas serta Primeworks Studios, Polong membariskan pelakon handalan seperti Fad Anuar, Namron, Amir Nafis, Nadiya Nisaa selain June Lojong dan Mimi Lana.
Filem berkenaan mula ditayangkan di pawagam bermula semalam.
