‘Adrian impi pergi umrah, teringin nak berdoa di sana’

REZEKI yang tidak pernah disangka-sangka, pelakon Amyza Aznan memanjatkan rasa syukur apabila pemilik sebuah syarikat pelancongan ingin menaja dia dan anak keduanya, Adrian Adam menunaikan ibadah umrah.

Menurut Amyza, 50, hadiah yang penuh bermakna tersebut hadir tanpa diminta selain menganggapnya sebagai anugerah terindah buat Adrian yang kini bertarung dengan penyakit kanser tulang.

“Ini berita manis sempena Hari Raya Aidiladha.

“Hadiah ini rasanya lebih mahal dari yang lain,” katanya.

Ujarnya, Adrian juga sudah lama memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan sebak apabila mengetahui mengenai perkara tersebut.

“Ketika awal didiagnos kanser tulang, dia ada cakap nak pergi sana (Tanah Suci). Memang betul doa di mana-mana saja, makbul tetapi dia teringin nak pergi sana, berdoa.

“Namun, dia beritahu perkara itu antara kami sahaja, tidak cakap perkara ini kepada media atau dalam media sosial.

“Bila individu tersebut tengok video yang dimuat naik oleh seorang jurusolek mengenai perkara ini, dimuat naik dan baca kapsyen, mungkin dari situ dia tergerak hati untuk menaja,” katanya lagi.

Amyza bagaimanapun tidak memperincikan mengenai tajaan tersebut termasuk identiti pihak yang menaja dan tarikh penerbangan.

Sebelum ini, pengacara, Datuk Aznil Nawawi berjaya mengumpulkan sumbangan daripada orang ramai berjumlah RM190,000 bagi membantu membiayai kos perubatan Adrian.

Pada Februari lalu, anak kedua Amyza itu disahkan menghidap kanser tulang dan sedang menjalani rawatan alternatif bagi mendepani penyakit berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok