‘Tak berminat ambil pelakon letak banyak syarat, harga tinggi’

ENGGAN runsingkan fikiran, penerbit Jaja Ishak mengakui tidak semua artis sesuai bekerjasama dengan syarikat produksinya, terutama apabila melibatkan tuntutan melampau hingga melebihi kemampuan produksi.

Ujar Jaja atau nama sebenarnya Surja Khairul Ishak, 44, sebagai penerbit, dia perlu menimbang tara pelbagai aspek termasuk kos operasi serta kebajikan kru, bukan semata-mata memenuhi kehendak pelakon.

Kami sebagai produksi ada bajet dan had tertentu. Kalau artis terlalu banyak terma dan syarat, saya kurang berminat untuk ambil.

“Ada juga yang letak harga terlalu tinggi hingga di luar kemampuan. Kami buat drama biasa, bukan siri premium atau OTT, jadi semuanya perlu ikut bajet sedia ada,” katanya kepada HibGlam.

Menurut pemilik Jaja Ishak Channel Sdn. Bhd. itu, ramai tidak menyedari tanggungjawab besar dipikul sesebuah produksi, termasuk membayar gaji pekerja, kos pengurusan pejabat serta caruman  (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)

“Produksi bukan sekadar bayar pelakon. Kami ada ramai kru di belakang tabir yang perlu dijaga kebajikan mereka.

“Semua itu perlu diseimbangkan supaya penggambaran berjalan lancar tanpa membebankan mana-mana pihak,” ujarnya.

Dalam masa sama, Jaja turut mendedahkan terdapat segelintir artis kurang selesa menjalani penggambaran luar Kuala Lumpur, sekali gus menyukarkan kerjasama memandangkan syarikatnya berpangkalan di Pahang.

Katanya, pemilihan Pahang bukan hanya disebabkan faktor logistik, sebaliknya usaha memperkenalkan keindahan negeri tersebut kepada penonton.

“Syarikat kami banyak buat penggambaran di Pahang kerana kami berasal dari sana. Jadi kerja luar kawasan memang wajib.

Ada artis tidak boleh keluar daerah, jadi kami tak dapat bekerjasama. Tiada masalah, masing-masing ada pilihan dan keperluan sendiri.

“Kita ada gunung, sungai, pulau dan banyak lokasi menarik. Saya suka tonjolkan tempat-tempat ini supaya visual drama nampak segar dan berbeza,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Jaja memaklumkan drama bersiri terbaharu terbitannya berjudul Sepenuh Hati Rindu bakal memulakan penggambaran pada 21 Jun depan bagi slot Samarinda TV3.

Saya yakin penonton akan teruja kerana drama ini sarat konflik di luar jangkaan.

“Kami tampilkan jalan cerita berbeza, jadi harap dapat beri impak kuat kepada penonton,” tuturnya.

Drama tersebut dijangka menampilkan pelakon Farah Nabilah yang kembali aktif selepas berehat selain Shah Jaszle bersama beberapa pelakon lain, sekali gus menambah keterujaan terhadap naskhah berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok