PENTAS lakonan nampaknya bukan lagi satu-satunya kepuasan buat bintang Indonesia.
Bakat luar biasa yang dimiliki penggiat seni dari negara sebarang menyaksikan trend di mana segelintir pelakon mula berhijrah dan bertakhta di kerusi pengarah.
Bukan sekadar mencuba nasib, magis sentuhan mereka terbukti apabila ada yang berjaya merangkul trofi berprestij.
HibGlam kali ini menyenaraikan lima bintang yang kini membuktikan taring mereka sebagai pengarah.
Reza Rahadian

SUDAH membintangi puluhan filem dan drama, Reza Rahadian beralih ke kerusi pengarah menerusi naskhah Pangku.
Karya tersebut merupakan sentuhan sulung bintang hebat berkenaan untuk filem cereka layar lebar.
Pangku turut berjaya dinobatkan sebagai Filem Cerita Panjang Terbaik di Festival Filem Indonesia (FFI) 2025.
Selain itu, pemilik nama lengkap Reza Rahadian Matulessy, 39, yang bertindak sebagai penulis skrip turut membawa pulang trofi Penulis Lakon Layar Asal Terbaik pada acara sama.
Lebih indah, Pangku berjaya membawa pulang empat anugerah di Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) 2025.
Empat trofi yang dimenangi oleh On Your Lap termasuklah KB Vision Audience Award, Fipresci Award, Bishkek International Film Festival’s Central Asia Cinema Award, dan Face of the Future Award.
Filem Pangku mengangkat kisah realiti pekerjaan wanita di daerah Pantura yang menyajikan kopi sambil dipangku.
Kristo Immanuel

Screenshot
PELAKON Kristo Immanuel memulakan langkah sulungnya sebagai pengarah pada tahun 2025.
Selain mengarah, pemilik nama lengkap Kristo Immanuel Caesar, 29, turut menulis skrip bagi filem Tinggal Meninggal.
Menerusi karya tersebut, dia mengangkat konsep fourth wall (dinding keempat) yang membolehkan karakter utama bercakap secara terus dengan penonton.
Kisahnya mengikuti watak Gema, seorang pemuda yang sering dipinggirkan di tempat kerjanya.
Bagaimanapun, selepas bapanya meninggal dunia, Gama menjadi perhatian ramai tetapi hanya bersifat sementara.
Perkara tersebut membuatkan Gema mula memikirkan pelbagai cara untuk kembali mendapatkan perhatian orang ramai.
Umay Shahab

DAHULUNYA, Umay Shahab hanyalah seorang seorang pelakon kanak-kanak berwajah comel.
Namun, pemilik nama lengkap Muhammad Arfiza Shahab itu kini beralih arah secara serius di belakang tabir sebagai pengarah muda yang berbakat dan disegani di Indonesia.
Pada 2017, Umay mula mengarahkan filem pendek berjudul Nona ketika berusia 16 tahun dan kemudian naskhah layar lebar, Kukira Kau Rumah pada 2021.
Kukira Kau Rumah terus mencetuskan fenomena di Indonesia dan Malaysia sehingga meraih 2.2 juta tontonan yang mana satu angka luar biasa buat pengarah muda yang baru menapak.
Filem yang dibintangi Prilly Latuconsina dan Jourdy Pranata mengangkat isu sensitif dan penting iaitu penyakit gangguan bipolar.
Bukan hanya mengarah, Umay terus membuktikan kesungguhannya dengan penubuhan rumah produksi miliknya iaitu Sinemaku Pictures.
Iko Uwais

SELEPAS berjaya melonjakkan nama ke peringkat antarabangsa, Iko Uwias cuba mempertaruhkan bakatnya dalam pengarahan.
Melancarkan filem Timur yang penuh aksi, Iko atau nama penuhnya Uwais Qorny, 43, juga terlibat sebagai pelakon utama dalam naskhah terbabit.
Filem tersebut menceritakan tentang perjuangan seorang prajurit pasukan khas yang berusaha menyelamatkan
tebusan di sebuah hutan rimba.
Ryan Adriandhy

MEMULAKAN kerjaya sebagai pelawak, Ryan Adriandy kini debut sebagai pengarah filem animasi.
Jejaka berusia 35 tahun itu bersama 200 tenaga kreatif bertungkus-lumus menghasilkan animasi berjudul Jumbo selama lima tahun.
Animasi tersebut mengisahkan tentang Don, seorang anak yatim piatu yang berusaha mencari buku dongeng peninggalan arwah ibu bapanya.
Meskipun baru pertama kali mengarah, karya Ryan memecah rekod luar biasa.
Jumbo berjaya menjadi filem Indonesia paling laris sepanjang zaman dengan kutipan mencecah lebih 10 juta penonton.
Filem yang menampilkan lakonan suara Ariel NOAH dan Bunga Citra Lestari itu turut memintas filem Frozen 2 sebagai filem animasi dengan pendapatan tertinggi di Indonesia. – HIBGLAM
