Penangan cinta, selebriti dicop pisau cukur

DUNIA hiburan tidak pernah sunyi daripada bisik-bisik nakal, setiap gerak-geri selebriti menjadi bahan umpatan, hubungan cinta pula diadili tanpa belas.

Lebih malang, apabila pasangan datang daripada latar belakang berharta, cinta terus dilihat sebagai helah meraih kemewahan.

Gelaran kaki kikis, pemburu harta dan pisau cukur mudah dilemparkan seolah-olah mengetahui seluruh isi hati.

Hakikat sebenar tenggelam dalam lautan spekulasi, sedangkan kebenaran sering jauh berbeza daripada cerita yang disensasikan.

Kimchi Panas minggu ini menampil lima selebriti Korea yang pernah dilabel pisau cukur oleh netizen.

Jung Ryeo-won

Tahun 2021 menjadi detik hitam buat aktres ini apabila dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Kim.

Hubungan tersebut mencetuskan kontroversi besar apabila lelaki itu ditangkap atas kes penipuan, ugutan dan kekerasan.

Nama Ryeo-won terus diseret, malah dituduh menjalinkan hubungan demi mengaut kekayaan, malah didakwa menerima pelbagai barangan mewah termasuk kereta.

Keadaan bertambah rumit apabila siasatan mendapati lelaki terbabit sememangnya berbelanja besar. Persepsi awam semakin memihak kepada tuduhan negatif.

Namun, agensi wanita berusia 45 tahun itu segera tampil mempertahankan Ryeo-won selain menegaskan artis mereka tidak pernah menerima sebarang dana mahupun terlibat dalam aktiviti penipuan.

Lee Jung-jae

 

Pada 2010, Jung-jae dikaitkan dengan ahli perniagaan berprofil tinggi, Im Se-ryung dan selepas lama berteka-teki, pasangan tersebut akhirnya mengesahkan hubungan pada 2015.

Namun, pengakuan itu tidak meredakan spekulasi sebaliknya, aktor berusia 53 tahun itu terus dihujani tuduhan kononnya menjalin cinta demi mengaut kekayaan keluarga konglomerat Daesang milik Se-ryung.

Cerita semakin liar apabila namanya dikaitkan dengan individu daripada keluarga konglomerat Dongyang, kononnya menerima wang dalam jumlah besar bagi melangsaikan hutang. Tuduhan demi tuduhan berlegar, namun tiada satu pun dibuktikan sahih.

Hakikat sebenar jauh berbeza, aktor tinggi lampai itu merupakan pelakon gred A dengan bayaran tertinggi di Korea Selatan.

Kejayaan global siri Squid Game sejak 2021 hingga musim terbaharu melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa, malah debut sebagai pengarah menerusi filem Hunt pada 2022 mengukuhkan lagi pengaruhnya dalam industri.

Han Ga-in

Kisah aktres Han Ga-in pula sering disalah tafsir. Ketika berada di puncak populariti, dia mengejutkan industri dengan keputusan berkahwin dengan aktor Yeon Jung-hoon pada 2005 ketika berusia 23 tahun.

Status keluarga mertua yang kaya, khususnya bapa Yeon Jung-hoon, Yeon Kyu-jin, seorang pelakon veteran dan usahawan hartanah berjaya, menjadi punca tuduhan bahawa wanita jelita itu mengejar kekayaan.

Bintang filem Architecture 101 itu menjelaskan keputusan berkahwin dibuat atas faktor emosi dan keinginan memiliki keluarga harmoni.

Kahi

Bekas anggota After School ini turut tidak terlepas daripada dilabel kaki kikis, malah pada usia 41 tahun, dia dituduh sebagai pemburu lelaki kaya selepas berkahwin dengan Pengarah Urusan Incase Korea, Yang Jun-mu.

Status suami sebagai individu berjaya menguatkan persepsi negatif. Ramai mendakwa pelantun lagu Come Back, You Bad Person itu memilih pasangan semata-mata kerana harta dan kedudukan.

Tidak berdiam diri, dia tampil mempertahankan diri dengan menegaskan cintanya tidak pernah diukur melalui kekayaan, malah suaminya digambarkan sebagai lelaki rajin, membina perniagaan dari bawah tanpa bergantung pada kemewahan keluarga.

Penjelasan tersebut sedikit sebanyak meredakan tohmahan. Kini, Kahi dan suami bahagia membesarkan dua anak lelaki.

Lucas

Kontroversi melanda idola ini pada 2021 apabila seorang wanita dari China tampil membuat pendedahan mengejutkan.

Lucas dituduh berlaku curang serta mengambil kesempatan terhadap kekayaan pasangan bukan selebriti.

Bukti dikemukakan mencetuskan gelombang besar dalam media sosial. Reputasi yang dibina runtuh sekelip mata apabila netizen mula mempercayai dakwaan tersebut.

Agensinya, SM Entertainment mengambil langkah drastik dengan menghentikan semua aktiviti seni lelaki tinggi lampai itu dan memberi ruang untuknya bermuhasabah dan menilai semula tindakan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok