‘Sudah kosongkan akaun, wang masuk 100 peratus untuk Adrian’ 

TAMPIL membantu, pengacara Datuk Aznil Nawawi melancarkan tabung dana buat anak pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam yang menghidap kanser tulang.

Aznil atau mesra disapa Pak Nil berkata, tujuan inisiatif itu dilakukan adalah bagi membiayai kos rawatan serta perubatan untuk remaja berkenaan.

“Saya sudah kosongkan akaun peribadi saya dan mendapat kelulusan dari Maybank untuk mengumpul dana kilat buat Adrian Adam, anakanda Amyza Aznan.

Segala wang dimasukkan ke dalam akaun yang kosong ini mulai saat ini adalah untuk perubatan dan saraan Adrian Adam 100 peratus,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Dalam perkongsian sama, pengacara Talk To My Manager musim dua (TTM2) itu turut menyertakan bukti dia sudah mengosongkan akaun peribadinya menerusi paparan resit bank.

Menurutnya lagi, tabung berkenaan hanya akan dibuka selama seminggu selain memaklumkan jumlah sumbangan akan dikongsikan secara harian.

Saya akan maklumkan di IG Story jumlah kutipan terkumpul secara harian. Tabung ini akan dibuka selama satu minggu sehingga 27 Mei 2026,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Menghargai keprihatinan selebriti senior itu, Amyza bersama Adrian tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih atas usaha Aznil.

Allah, terima kasih Pak Nil. Terima kasih semua. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya,” tulis Adrian di ruangan komen.

Terdahulu, keadaan putera kedua dramatis itu yang beraksi di pentas TTMM2 dengan berkerusi roda meraih perhatian ramai.

Usaha yang sama pernah dilakukan Aznil sebelum ini apabila membantu rakan seperjuangan yang berdepan masalah kesihatan termasuk Zamani Slam dan Allahyarham Ibnor Riza. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok