MEMPERTAHANKAN rakan, penyanyi Yazmin Aziz berharap netizen tidak memetik nama teman seperjuangannya, Aisha Retno dalam isu yang dibangkitkan penyanyi juga penganjur konsert, Yuka Kharisma.
Yazmin berkata, Aisha tidak sepatutnya diganggu dengan kisah lampau selain tidak wajar terus berdepan provokasi pihak tertentu.
“Saya rasa tak perlu tag Aisha kot. Lebih baik dia fokus pada apa yang dia ada sekarang daripada terus fikir pasal masa lalu.
“Sesiapa yang kenal Aisha secara peribadi, saya rasa akan setuju dengan saya.
“Jom kita terus pandang ke depan dan sebarkan kasih sayang,” tulisnya dalam hantaran di Threads.
Tindakan itu dipercayai bagi membalas hantaran seorang pengguna Threads yang memuat naik semula ciapan Yuka mengenai seorang artis.
Walaupun tidak menyebut nama, rata-rata mendakwa ia ditujukan kepada Aisha berikutan isu sebuah konsert yang dibatalkan.
Terdahulu, timbul dakwaan yang mengatakan Yuka menuntut hutang berjumlah puluhan ribu ringgit daripada seorang artis yang pernah dibantunya ketika susah.
Dalam hantaran tersebut, Yuka mendakwa penyanyi dimaksudkan menangis meminta bantuannya sebelum dia meminjamkan wang yang belum dijelaskan hingga kini.
Begitupun, dalam ruangan komen ramai sependapat dengan Yazmin agar Aisha tidak diganggu isu tersebut.
“Betul tu awak, saja nak api-apikan. Benda tak payah layan, boleh skip. Nanti timbul fitnah sana sini, diam-diam sudahlah,” tulis netizen.
Terdahulu, Yuka pernah terpalit kontroversi pembatalan Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang sepatutnya berlangsung pada 16 November 2024.
Menurut Yuka selaku penaung syarikat, konsert berkenaan dibatalkan atas faktor jualan tiket yang tidak memberangsangkan.
Susulan pembatalan konsert , Aisha meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur yang didakwa membuat keputusan mengejut tanpa memaklumkan kepada dirinya terlebih dahulu.
Selebriti asal Indonesia itu turut menuntut Aisha membayar semula RM83,000 yang didakwa dipinjamkan bagi merealisasikan persembahan ketika AJL38, Mac tahun lalu. – HIBGLAM
