Tuah Adrian, dilamar rakam lagu selepas beraksi di TTMM2

REZEKI buat anak pelakon Amyza Aznan iaitu Adrian Adam apabila menerima tawaran daripada seorang komposer yang juga pemilik syarikat rakaman sejurus selepas 30 minit membuat persembahan dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2), semalam.

Menganggap sebagai rezeki yang tidak disangka, Amyza, 49, memaklumkan komposer itu meluahkan hasrat tersebut melalui kiriman WhatsApp selepas melihat persembahan Adrian.

“Sebelum ini memang pernah terdetik dalam hati, kalaulah ada mana-mana komposer yang sudi menghasilkan lagu untuk Adrian.

Tetapi saya tidak sangka Allah gerakkan hati individu tersebut. Ini rezeki yang langsung tak dijangka.

“Individu itu menghantar WhatsApp dan menawarkan untuk menghasilkan lagu buat Adrian sejurus selepas persembahan tadi,” katanya kepada HibGlam pada konsert kelima TTMM2, semalam.

Sementara itu, Adrian meluahkan rasa gembira dengan perkhabaran tersebut dan berharap akan menjadi pembakar semangat untuk melawan kanser tulang yang dihadapinya.

“Rasa terkejut, tak sangka dan gembira. Insya-Allah saya bersedia untuk mengikuti kelas vokal dan membuat persediaan bagi lagu ini.

Mungkin ini menjadi pemangkin semangat untuk saya terus berjuang. Saya anggap nyanyian sebagai satu terapi untuk kesihatan mental.

“Sebenarnya saya okey dengan mana-mana komposer. Bagi saya dapat lagu daripada mereka dikira benda yang perlu dihargai,” luahnya.

Semalam, Adrian membuat kemunculan istimewa di pentas TTMM2 dengan menyampaikan lagu Ku Mohon nyanyian asal Datuk Sheila Majid sambil berkerusi roda.

Nyanyiannya mendapat tepukan gemuruh penonton dan ‘standing ovation’ termasuk daripada barisan juri.

Adrian sepatutnya menjadi salah seorang peserta dalam TTMM2 namun terpaksa mengundur diri berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Pada Februari lalu, anak kedua Amyza itu disahkan menghidap kanser tulang dan sedang menjalani rawatan alternatif bagi mendepani penyakit itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok