Watak Bayan PGL The Musical milik Mimy Fly

PENUH kejutan, penyanyi Mimi Fly diumumkan sebagai pemegang watak Bayan dalam Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical yang dijangka dipentaskan tahun ini.

Menerusi satu hantaran Instagram, foto Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, dimuat naik dan diperkenalkan sebagai salah seorang Bayan.

“Kami mahu menghargai bukan sahaja legasi PGL tetapi juga masa depannya.

“Buat pertama kalinya, dua puteri dan dua Bayan akan melangkah ke dunia ini.  Satu keputusan yang dibuat dengan penuh teliti dan dengan harapan agar watak-watak ikonik ini terus hidup untuk generasi akan datang.

“Hari ini, kami memperkenalkan salah seorang daripada Bayan kami.

“Satu kehadiran yang tenang namun penuh kekuatan. Teguh dalam kesetiaan dan jiwa yang dipilih untuk menggalas salah satu watak paling disayangi dan kekal dalam dunia PGL,” katanya dalam satu hantaran Instagram hari ini.

Dalam perkongsian sama, watak Bayan bukan hanya disifatkan sebagai peneman sebaliknya saksi kepada perjalanan hidup dan suka duka PGL.

“Lebih daripada sekadar peneman, Bayan adalah saksi kepada cinta, pengorbanan, takdir dan pilihan yang mengubah segalanya.

“Masuki dunia PGL dan temui salah seorang wanita yang dipilih untuk meneruskan legenda ini.

“Bukankah di Ledang ini, segala-galanya akan abadi?” ujarnya.

Watak Bayan merupakan pembantu dan orang kepercayaan Gusti Puteri Retno Dumilah.

Bayan berperanan sebagai penasihat setia yang sering mengingatkan Gusti Puteri tentang tugas, takdir dan perasaan.

Sebelum ini, beberapa nama selebriti wanita menjadi sebutan ramai seperti Aisha Retno, Azira Shafinaz dan Nadia Aqilah.

Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena, Penerbit Eksekutif dan Pengarah PGLM, Puan Sri Tiara Jacquelina kembali menghidupkan legenda ikonik berkenaan dengan membuka sesi uji bakat rasmi bagi mencari barisan pelakon generasi baharu.

Watak utama seperti Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan, Adipati dan Bayan antara peranan yang menanti untuk dihidupkan semula dengan nafas baharu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok