PENYANYI dan komposer terkenal M. NASIR menegaskan tidak tahu menahu dirinya tular dalam media sosial kerana sering membalas komen netizen dan pempengaruh.
Menurut M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir bin Mohamed Sam, 69, dia tidak pernah ambil tahu tentang media sosial.
“Apa? Saya aktif di media sosial? Dekat mana? Yang mana satu?
“Saya tak berapa ikut sangat la. Saya tak tahu,” katanya.
Ditanya jika benar dirinya tidak tahu, maka siapa yang menjawab soalan-soalan daripada netizen?
“Tak tahu. Mungkin penyamar,” komennya sewaktu usai sidang Konsert Cipta 4 susulan komen-komen yang dibuat dalam media sosial.
Terdahulu kemunculan penyanyi yang terkenal dengan gelaran sifu itu dalam media sosial terutamanya Threads mendapat perhatian ramai.
Terbaharu, komposer terkenal itu mencuri tumpuan dengan komen balasnya terhadap pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai DMA Islam.
Pempengaruh tersebut menyamakan anak seni dengan anak bodoh.
M. Nasir dilihat membalas kenyataan tersebut dengan menulis ‘baik anak sains’.
Komen balas M. Nasir telah mendapat lebih 23 ribu tanda suka, ratusan komen dan hampir 2 ribu ulang siar.
Malah ada yang menggelarnya sebagai ketua baharu Threads menggantikan Kamal Adli.
Dalam perkembangan lain, M. Nasir bakal muncul dengan Konsert Cipta 4 yang akan berlangsung pada 4 Julai 2026 bertempat di Unifi Arena Bukit Jalil. – HIBGLAM
