‘Buta hati! Muka selamba merokok di tempat larangan’

PELAKON Rita Rudaini meluahkan rasa geram terhadap sikap segelintir individu yang masih berdegil merokok di kawasan larangan meskipun notis amaran dipaparkan secara jelas.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 50, menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab selain menunjukkan sikap pentingkan diri sendiri.

“Paling meluat melihat manusia merokok di tempat dilarang.

Sudah jelas kedai makan letak tanda larangan merokok, tetapi masih buat tidak nampak. Buta mata, buta hati,” katanya dalam Threads.

Tambah pelakon filem Mami Jarum itu, situasi menjadi lebih menjengkelkan apabila individu terbabit seolah-olah tidak bersalah, malah berani memandang sinis kepada orang sekeliling.

Tegasnya, sikap sedemikian bukan sahaja melanggar peraturan, malah memberi kesan kepada keselesaan orang ramai di kawasan awam.

Bila kita pandang, dia pandang balik. Muka selamba, langsung tidak fikir orang lain.

“Orang seperti ini memang tahu perangai sendiri. Mereka tidak fikir tentang orang sekeliling, hanya pentingkan diri sendiri,” ujarnya.

Luahan tersebut menerima pelbagai reaksi netizen dengan kebanyakan menyokong pandangan Rita dan menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap perokok degil.

Memang setuju, ramai buat tak endah. Perlu denda lebih berat supaya serik.

“Kesihatan orang lain pun terancam,” tulis netizen.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pihak berpandangan isu tersebut sepatutnya ditegur secara bersemuka di tempat kejadian dan bukanlah berdiam diri serta hanya menulis dalam media sosial semata-mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok