PELAKON dan pengarah Pierre Andre memberi bayangan bakal berhenti menghasilkan karya genre seram sekiranya filem terbaharunya Nar’sata: Sekutu Setan gagal mencapai kutipan memberangsangkan.
Ujar Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 41, segala keputusan bergantung sepenuhnya kepada penerimaan penonton terhadap karya terbaharunya itu.
“Kalau penonton sudah tidak mahu menonton, mungkin saya akan berhenti menghasilkan karya genre ini.
“Namun, kalau filem ini meletup, saya sudah ada beberapa idea untuk dikembangkan lagi.
“Jadi semuanya bergantung kepada sambutan. Kalau sebaliknya berlaku, mungkin ini filem seram terakhir saya,” katanya kepada HibGlam.
Tambah bintang filem Jangan Pandang Belakang itu, dia tidak keberatan untuk kembali kepada genre romantik komedi yang dianggap sebagai ‘cinta pertama’ dalam kembara seninya.
“Jadi itulah timbang taranya, apapun saya tetap akan mengarah dan gembira jika kembali kepada genre romantik komedi.
“Itulah ‘cinta pertama’ saya dalam dunia pengarahan,” ujarnya pada malam gala dan sidang media filem Nar’sata: Sekutu Setan, malam tadi.
Pierre turut berkongsi hasrat besar masih belum tercapai sepanjang bergelar pengarah iaitu menghasilkan filem dengan kutipan mencecah RM10 juta.
“Kekecewaan saya, sehingga hari ini saya belum pernah capai kutipan RM10 juta.
“Kalau diberi pilihan antara anugerah Pengarah Terbaik atau pengarah pernah capai angka itu, saya pilih kutipan RM10 juta.
“Itu satu kepuasan berbeza,” jelasnya.
Bagaimanapun, bapa dua anak itu menegaskan tidak meletakkan tekanan melampau terhadap naskhah terbaharu itu, sebaliknya bersyukur sekiranya mencapai angka sederhana.
“Saya tidak letak sasaran terlalu tinggi sampai wajib RM10 juta. Kalau dapat RM5 juta pun saya sudah sangat bersyukur tapi kalau kutipan tidak seperti filem sebelum ini, mungkin saya akan fikir penonton sudah tidak mahukan karya saya lagi.
“Kita hidup dalam dunia serba laju. Orang sudah biasa ‘scroll’ media sosial, jadi semua mahu sesuatu cepat dan terus menarik perhatian. Sebab itu saya ubah hala tuju filem ini.
“Saya tidak boleh lagi guna konsep seram Jepun seperti dahulu. Saya perlu ikut trend dan kehendak penonton sekarang,” tuturnya.
Nar’sata: Sekutu Setan terbitan Metrowealth International Group (MIG) bakal menemui penonton bermula 21 Mei ini.
Filem tersebut menampilkan barisan pelakon seperti Trisha Ooi, Mawar Rashid, Khatijah Tan, Wan Hanafi Su, Aniq Suhair dan Fadlan Hazim. – HIBGLAM
