‘Mika trauma sampai terkencing, terberak dalam seluar’

ISTERI kepada pelakon Ako Mustapha, Kartina Shuaib meluahkan rasa terkilan apabila mengetahui belakang badan anaknya mempunyai kesan lebam yang dipercayai akibat perbuatan buli.

Pada masa sama, Kartina memaklumkan perkara tersebut terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan oleh doktor pediatrik yang menemui kesan lebam pada bahagian belakang badan Mikhael.

“Anak saya memang disahkan trauma, bukan saya cakap pakar yang sahkan.

“Lebam belakang badan, doktor pediatrik yang jumpa dan tanya saya tahu ke fasal ini?

“Saya cakap tak tahu, ini kesan lebam dah seminggu lebih.

Masa itu, sebagai seorang ibu saya terkilan kenapa tak tahu. Anak saya kena ugut supaya tak beritahu,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu keempat Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).

Lebih menyedihkan, Kartina berkongsi bahawa kesan buli tersebut memberi impak psikologi yang mendalam terhadap Mikhael.

“Setiap hari dari Januari, dia terberak dan terkencing dalam seluar.

“Saya sebagai mak marah dia ‘Mika kenapa awak sangat pemalas untuk pergi ke tandas.’ Rupanya saya dapat tahu dari psikiatri dia trauma.

“Bila tahu, saya terduduk depan pakar. Tak boleh proses,” ujarnya lagi.

Selain itu, Kartina turut mendedahkan bahawa anaknya sering dipaksa memberi wang dan makanan kepada pembuli.

“Ibu bapa dekat luar sana pantaulah anak kalian. Saya setiap hari tanya bagaimana sekolah dan kawan-kawan tanpa gagal.

Bapa dia cakap dia minta bawa pergi beli jajan untuk kongsi dengan kawan. Rupanya kawan sekelasnya beritahu anak saya kena ‘pau’.

“Kalau tak bawa jajan dan bagi duit kena sepak, saya ada bukti video dari rakan sekelas,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Ako mendedahkan bahawa anak lelakinya didakwa menjadi mangsa buli sejak setahun lalu di sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok