KETIKA pelakon lain mengalami kecederaan fizikal, aktor Bront Palarae pula berdepan situasi berbeza apabila mengalami masalah hilang suara ketika menjalani penggambaran filem Tarung Unforgiven.
Menurut Bront, kecederaan pada peti suaranya itu berlaku disebabkan seronok berlakon dengan Zul Ariffin yang disifatkan memiliki tenaga dan lontaran suara luar biasa.
“Kecederaan saya ada kaitan dengan Zul yang semua tahu dia memiliki karisma, tenaga dan lontaran suaranya.
“Saya pula nak padankan energi dengan Zul sebab bukan jenis beri diskaun dalam lakonan selain mahu berseronok sepanjang ada babak bersama Zul.
“Tapi, menjelang pukul 3 pagi, suara hilang sedangkan babak kami berdua belum habis lagi,” katanya pada majlis tayangan gala Tarung Unforgiven di sini, baru-baru ini.
Insiden tersebut sekali gus menyedarkan Bront filem aksi bukan hanya boleh menyebabkan kecederaan fizikal semata-mata.
“Di sebalik cerita aksi, rupa-rupanya peti suara juga penting. Saya pula bukan pelakon teater, jadi tak pandai nak guna teknik tertentu untuk melontarkan suara.
“Bila suara sudah tiada, saya mula risau ganggu penggambaran sedangkan jadual kerja kami sangat teratur dan sihat.
“Adik-adik yang lawan fizikal pun okey, tak ganggu penggambaran. Takkan abang-abang masuk yang babak hanya bercakap saja boleh cedera, tapi seksalah,” ujarnya.
Dia bagaimanapun bersyukur pihak produksi bertindak pantas dan proses pemulihan peti suaranya tidak mengambil masa lama.
“Tapi pasukan produksi pun sangat peka dan sentiasa bersedia menangani situasi sebegini.
“Pengarah pun memang hebat, dia dahulukan babak pelakon lain sementera tunggu suara saya pulih,” ujarnya lagi.
Selain Bront dan Zul, filem arahan Raisyam Rashid tersebut turut diintangi Mierul Aiman, Aedy Ashraf, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz dan Sharifah Sakinah.
Naskhah terbitan Alpha 47 itu mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini. – HIBGLAM
