Jadi suami, bapa 3 anak bukan beban tapi tanggungjawab – Radin

LEBIH setahun menyimpan kisah hati daripada diketahui umum, penyampai radio Era, Radin akhirnya membuka hikayat cinta tulusnya pada hari bersejarah sendiri yakni walimatulurus yang berlangsung pada 1 Mei lalu.

Hanya dengan sekali lafaz, Nur Amirah Shamsulbahrin, 37, kini sah menjadi suri hati Radin atau nama lengkapnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 36.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan sendiri dan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Bukit Antarabangsa Ustaz Abd. Hakim Abdul Rahman.

Radin menyerahkan mahar berupa pohon emas sakura bernilai RM15,020.26 simbolik tarikh mereka diijabkabulkan.

Sewaktu acara akad berlangsung, turut dipaparkan pada skrin besar wajah Allahyarham ibu dan bapa Radin yang merupakan imej hasil kecerdasan buatan (AI) seolah-olah mereka turut berada di dalam dewan meraikan hari bahagia anakanda tercinta.

Momen tersebut mengundang sebak seluruh dewan disaksikan 500 tetamu yang hadir.

RADIN mengakui jatuh cinta dengan karakter unik Amirah.

Antara figura terkenal yang turut sama meraikan hari bahagia pasangan mempelai adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, rakan-rakan selebriti seperti Erra Fazira, Bella Astillah, Syed Saddiq, Nabila Razali serta rakan penyampai radio Era.

Majlis yang bertemakan serba putih itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal Anuar Zain dan kumpulan Rabbani.

Rahsia

Radin ketika ditemui usai majlis mendedahkan, dia dan isteri sepakat untuk merahsiakan hubungan mereka sehingga tiba hari perkahwinan.

Kami berdua bersetuju untuk merahsiakan hubungan sehinggalah hari kami disatukan sebagai suami isteri yang sah.

“Sejujurnya rakan-rakan media yang saya jemput pun adalah untuk sama-sama meraikan hari bahagia saya dan bukannya untuk datang bekerja. Kerana yang saya jemput ini merupakan sahabat saya,” katanya.

Ditanya apakah keistimewaan Amirah yang juga seorang peguam itu sehingga berjaya menambat hatinya, Radin mengakui terpesona dengan kejujuran dan keikhlasan wanita tersebut.

“Saya terus terang di sini, Mira ibu tunggal yang memiliki tiga anak. Namun perkara tersebut tidak menjadi penghalang buat saya.

“Saya suka dia kerana di sebalik wajahnya yang kelihatan lembut dan sopan, dia mempunyai karakter yang menarik,” kongsinya.

AMIRAH menyifatkan Radin sebagai lelaki yang terlalu baik dan sangat disenangi ketiga-tiga anaknya.

Bagi Amirah pula, ketulusan hati Radin dan pandai mengambil hati anak-anaknya membuatkan dia jatuh cinta dengan lelaki itu.

Radin sangat baik hati. Dengan semua orang. Tak kira siapa pun. Dia akan utamakan orang lain sebelum diri dia.

“Anak-anak sangat seronok bila bersamanya. Radin seorang yang penyayang dan mudah sesuaikan diri dengan keadaan dan sesiapa sahaja,” ujarnya.

Menggalas dua tanggungjawab, sebagai suami sekali gus bapa kepada tiga anak dalam waktu sama, Radin mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab tersebut.

“Saya ada Mira. Dia akan tolong dan bersama-sama dengan saya dalam melayari bahtera ini bersama anak-anak kami. Saya tidak pernah rasa ini satu bebanan, ini satu tanggungjawab yang baharu,” katanya yang akan berbulan madu di kota suci Mekah selepas Hari Raya Aidiladha nanti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok