MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan Allahyarham Jalil Hamid permata berharga dalam industri seni tanah air.
Menurut Fahmi, Allahyarham merupakan tokoh seni serba boleh, bukan sahaja dalam bidang lakonan malah dunia nyanyian.
“Kita kehilangan sebutir lagi permata industri seni tanah air hari ini.
Saudara Jalil Hamid merupakan seorang seniman yang tidak asing dalam dunia lakonan dan nyanyian sejak lebih empat dekad lalu.
“Beliau merupakan penghibur yang unik dengan gaya dan bakat tersendiri,” katanya dalam Instagram.
Tambahnya, sumbangan besar yang ditinggalkan Allahyarham sepanjang hayatnya akan terus terpahat dalam ingatan masyarakat.
“Segala jasa, bakti dan sumbangannya akan sentiasa dikenang,” ujarnya.
Fahmi turut mendoakan seluruh ahli keluarga, sahabat handai, serta rakan-rakan seperjuangan Allahyarham diberikan ketabahan dalam menghadapi detik hiba ini.
Takziah buat seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham.
“Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya lagi.
Hari ini, dunia hiburan dikejutkan dengan kehilangan Jalil Hamid yang meninggal dunia dalam tidur selepas berdepan masalah jantung.
Sepanjang karier, Allahyarham cukup terkenal dengan lagu lagu Ayam dan Raya.
Menerusi lakonan pula, Jalil pernah membintangi filem Wanita Bertudung Hitam, Baginda, Zombi Kampung Pisang dan Bisik Pada Langit serta puluhan drama sejak 1980-an. – HIBGLAM
