Seniwati Maria Menado meninggal dunia akibat sakit tua

SENIWATI legenda Datuk Seri Maria Menado meninggal dunia akibat sakit tua di sebuah hospital swasta pada usia 94 tahun hari ini.

Maria atau nama lengkapnya, Maria Abdullah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 12.25 tengah hari.

Berita mendukacitakan itu disampaikan menerusi kenyataan daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

“Beliau merupakan seorang bintang filem Melayu yang termasyhur antara 1951 dan 1963.

“Maria Menado berhijrah ke Singapura dan bertukar agama ke Islam ketika berusia 19 tahun dan berkahwin dengan promoter tinju dan juga penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad,” demikian kenyataan terbabit.

Sepanjang karier dalam industri perfileman, Maria pernah memenangi dua anugerah di Festival Filem Malaysia pada tahun 1957 dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Pontianak dan sekali lagi memenangi Pelakon Pembantu Terbaik dalam filem Penghidupan pada tahun 1952.

Maria Menado juga bukan sahaja telah berlakon lebih 20 filem malah beliau juga adalah seorang penerbit yang menerbitkan beberapa buat filem.

Pada tahun 1980, beliau menerima Darjah Dan Pingat Kebesaran Negeri Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk daripada Istana Pahang.

Pada tahun 2017 sekali lagi beliau menerima Darjah Dan Pingat Kebesaran Negeri Pahang, Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP).

Maria Menado meninggal dunia akibat sakit tua dan arwah menghembuskan nafas terakhir disisi ahli keluarga terdekat.

Jenazah dijangka akan dibawa ke Masjid Umar Al-Khattab Bukit Damansara pada pukul 4 petang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Asar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok