PELAKON KilaFairy tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung ketelanjuran kata-katanya berkaitan isu kematian anjing bernama Rocky di Pelabuhan Klang baru-baru ini.
Mengakui khilaf sendiri, Kila, 35, menyedari setiap perkataan yang digunakannya dalam satu hantaran media sosial berhubung isu tersebut terlalu kasar sehingga menggores hati banyak pihak.
“Saya nak meminta maaf atas pemilihan kata-kata yang digunakan dalam Threads beberapa hari lepas.
Apabila melihatnya semula, sangat kasar. Minta maaf ya semua, saya hanya manusia biasa, tidak sempurna dan masih lagi belajar untuk menjadi individu lebih baik setiap hari.
“Terima kasih kepada semua yang menegur dan menasihati saya secara peribadi dan tertutup. Saya menghargainya,” katanya dalam satu hantaran Threads semalam.
Dalam masa sama, dia juga sudah melihat kenyataan daripada pihak yang terlibat berhubung isu kematian Rocky selain berharap kes tersebut akan dikendalikan dengan adil.
Saya berharap bila adanya kes seperti ini, semua pihak dapat mengendalikan situasi dengan adil dan aman.
“Semoga kita dapat menjadikan dunia ini lebih baik, mempunyai belas ihsan dan berlaku adil kepada semua ciptaan Allah SWT di muka bumi ini, tidak kira manusia atau haiwan.
Semoga hati dipenuhi kasih sayang, bukan kebencian. Sekali lagi, saya memohon maaf atas pemilihan kata-kata yang kurang tepat sehingga menyinggung hati ramai pihak.
“Terima kasih atas segala teguran kalian,” katanya lagi.
Terdahulu, Kila merupakan salah seorang selebriti yang dihujani dengan kecaman selepas mengeluarkan kenyataan mengundang kemarahan ramai berkaitan kes kematian Rocky.
Salah satu hantarannya yang dibanjiri kecaman ialah mendoakan kakitangan yang didakwa terlibat dengan kematian Rocky ketika operasi tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah menerima balasan neraka dan digelar pembunuh.
Selain Kila, selebriti laian yang dikritik apabila didakwa mengeluarkan kenyataan berat sebelah sebelum mendengar penjelasan daripada semua terbabit ialah Sherry Ibrahim, Yuna, Atikah Suhaime fan Mekyun. – HIBGLAM
