‘Apa berlaku antara kami, macam gaduh abang dan adik’

PENYANYI Liza Hanim menyifatkan perselisihan faham yang berlaku antara dirinya dengan vokalis Spring, Ameng baru-baru ini seperti perbalahan abang dan adik.

Menurut Liza, 46, dia memilih untuk berdiam diri selepas Ameng mengeluarkan kenyataan adalah kerana enggan mengeruhkan lagi situasi yang sedang memanas beberapa hari lalu.

“Saya sebenarnya sudah tiada apa nak ulas lagi — semua yang berlaku seperti kes abang dengan adik, cuma syukur diselesaikan dengan baik dalam keadaan sangat tenang.

“Dalam hidup ini, kita bukan manusia yang sempurna. Bagi saya, inilah pentingnya kita perlu bertenang dan sebab itu saya minta maaf.

Saya juga mohon maaf kalau tak beri sebarang kenyataan sebab saya sendiri perlu tempoh bertenang, jika bercakap dalam keadaan tak berfikir dengan jelas, macam-macam boleh jadi,” katanya kepada HibGlam  ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Jodoh Lebaran anjuran Aisha Retno di sini, hari ini.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Getaran Cinta Di Jiwa itu tidak keberatan dan tiada masalah untuk bertemu dengan Ameng di mana-mana acara selepas ini.

“Kami pasti akan bertemu lagi selepas ini ditambah sekarang banyak acara berlangsung.

“Saya memang kalau boleh sebenarnya lagi suka jika dapat jumpa dengan Ameng tetapi faham masing-masing pun ada kekangan.

“Terima kasih banyak kepada semua juga yang mendoakan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia mengakui terharu dengan semua komen positif diterima dalam media sosial sepanjang kemelut tersebut berlaku.

“Bila tengok semua komen tersebut, saya rasa seperti sangat disayangi termasuk dalam kalangan rakan artis.

“Iyalah, industri kita pun kecil sahaja, semoga kita sama-sama jaga keharmonian dalam industri juga insya-Allah,” jelasnya.

Baru-baru ini, Liza meluahkan rasa terkilan dalam media sosial selepas seorang penyanyi senior didakwa mengeluarkan kenyataan tentang gelaran juara tidak membawa ke mana-mana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok