‘Bayaran Bella menyanyi satu malam sama gaji saya sebulan’

BERHARAP tiada lagi pihak memandang rendah terhadap kerjaya seni, ahli politik Syed Saddiq mendedahkan pendapatan sebagai pelakon atau penyanyi seperti tunangnya, Bella Astillah sangat berbaloi.

Syed Saddiq atau nama lengkapnya, Syed Saddiq Abdul Rahman, 33, berkata, berbeza dengan politik hakikatnya hasil diraih daripada tugasan dalam bidang hiburan lebih daripada gajinya sebulan.

“Walaupun saya berada dalam parti politik pembangkang, di Parlimen pun saya di kerusi pembangkang, tetapi apabila saya diberi peluang bekerja di luar skop politik dengan kebanyakan dana disumbang balik ke Muar, saya perasan, orang ingat politik dibayar tinggi.

Bayaran kerja lain sebenarnya lebih tinggi. Saya ada kongsikan dengan tunang, kalau dia pergi buat konsert atau menyanyi, dia menyanyi satu malam tu bersamaan dengan gaji saya sebulan.

“Bila saya buat shooting (penggambaran) sekarang, satu hari seperti bersamaan dengan dua, tiga bulan gaji sebagai Ahli Parlimen. Sehari sahaja, tiada stres,” katanya ketika diundang ke program audiosiar LebihMasa.

Berkongsi lagi perbezaan antara politik dengan kerja seni dilakukannya, Ahli Parlimen Muar itu mengakui lebih bahagia dapat berada dalam suasana baharu.

Malah, Syed Saddiq turut mengakui fasa sebagai bakal suami kepada Bella menyuntik perasaan luar biasa dalam kehidupannya kini.

“Sekarang saya bahagia. Jauh lebih bahagia kerana saya di luar dunia politik dan di dunia yang membahagiakan.

“Mungkin sebelum ini saya tak pernah beri peluang untuk fikir berumah tangga. Sekarang saya boleh. Ia memberikan kebahagiaan yang luar biasa,” katanya.

Diusik pula mengenai nama yang disimpan dalam senarai panggilan telefon untuk tunangnya, lelaki terbabit hanya tertawa.

Di podcast ini kita tak perlulah dedah semuanya tapi yang pasti bukan (letak) nama dialah,” selorohnya.

Berkenaan kursus perkahwinan, Syed Saddiq hanya memaklumkan persediaan sudah dilakukan memandangkan tarikh pernikahan mereka semakin hampir.

“Kalau saya jawab takut kantoi. Dalam tempoh terdekat harinya. Tarikh nikah dah tak jauh. Insya-Allah.

Paling penting persediaan untuk (penuhi) tanggungjawab seorang suami khususnya dan seorang bapa sangat berbeza.

“Sebab itu saya sedikit sebanyak saya perlahankan sedikit rentak sebagai presiden sebuah parti untuk jadi seorang suami dan bapa yang lebih baik,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok