‘Kejarlah impian kamu’ – Syed Saddiq tak halang Bella berlakon, menyanyi

MENYOKONG penuh kerjaya bakal isteri, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq menafikan dakwaan meminta Bella Astillah menoktahkan karier nyanyian dan lakonan sebaik mereka mendirikan rumah tangga.

Syed Saddiq atau nama lengkapnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, berkata, tidak adil sekiranya dia menghalang insan kesayangannya itu mengejar cita-cita dalam dunia seni.

“Banyak pihak mengatakan selepas ini Bella dah tak boleh berlakon, menyanyi dan tak boleh berada di depan khalayak umum kecuali acara rasmi.

Saya tak bersetuju. Saya rasa tak adil kerana impian saya, impian kamu (Bella) terpaksa dikorbankan. Maksud saya kejarlah impian kamu,” katanya ketika diundang sebagai tetamu sebuah program audiosiar.

Menurutnya, perkara yang paling membimbangkan adalah kelantangannya dalam menyuarakan isu semasa akan memberi kesan terhadap perkembangan kerjaya seni Bella.

“Saya lebih risau kelantangan saya mungkin menyekat kemaraan tunang dalam mengejar impiannya. Tapi itulah dunia politik,” ujarnya.

Pada masa sama, Syed Saddiq turut menegaskan tidak pernah merancang untuk memperkenalkan tunangnya  itu kepada dunia politik seperti diperkatakan segelintir pihak.

“Ada juga kata ini adalah jalan untuk bawa Bella masuk politik. Tidak, dia boleh ajar saya menari, dia tak perlu sertai politik

Saya tak mahu dan saya berdoa dia tak perlu ke tahap macam tu. Ada saya perkenalkan, saya ‘tarik’ dia bersukan,” katanya.

Sebelum itu, dalam sesi sama Syed Saddiq mengakui berada di fasa bahagia namun belum bersedia mendedahkan tarikh pernikahannya.

Terdahulu, pasangan yang bertunang pada 28 Mac lalu itu terus menjadi perhatian ramai yang tidak sabar melihat mereka diijabkabulkan.

Walaupun tidak memberi bayangan berkenaan tarikh hari bersejarah mereka, tersebar spekulasi majlis perkahwinan itu bakal berlangsung pada Jun ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok