‘Tidak adil, apa kena-mengena masa silam dan sekarang?’

SEJARAH silam ibu dijadikan bahan mengata, anak kepada pelakon Norish Karman, Manda berharap agar pihak berkaitan menghentikan tindakan itu

Manda atau nama sebenarnya, Nur Hanyz Amanda, berkata, tidak wajar mengungkit kisah lampau seseorang terutama yang berusaha untuk bangkit semula.

Apa kena-mengena masa silam dan sekarang? Sekarang ini kita susah, bukan ketika waktu silam.

“Ini tidak adil. Hari-hari kita diberi peluang untuk menjadi yang terbaik.

“Tapi hari-hari anda semua memilih untuk memandang kisah silam,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.

Menurut anak sulung daripada lapan bersaudara itu, antara kecaman lain yang dilemparkan termasuk ibunya didakwa berwajah sombong.

Akuinya, sudah sifat semula jadi wanita dihormatinya itu sukar menunjukkan kesedihan kepada khalayak.

Orang cakap muka Norish Karman tak senyum, sombong. Habis itu nak buat macam mana? Nak menangis setiap masa?

“Kita diberikan rezeki di mana walaupun kita susah, kita tak tunjuk menerusi muka,” ujarnya.

Terdahulu, nama pelakon filem Sayang Salmah itu menjadi sebutan di laman sosial selepas anaknya mendedahkan dia dimasukkan ke hospital kerana mempunyai masalah darah rendah.

Keadaan kesihatan yang tidak menentu menjejaskan kehidupan aktres berstatus ibu tunggal itu apabila tidak mampu bekerja sehingga tiada punca pendapatan.

Berikutan kesempitan, anaknya terpaksa meminta bantuan secara terbuka untuk membiayai kos rawatan seterusnya rayuan dibuat turut disambut usahawan sensasi, Datuk Seri Alif Syukri.

Begitupun, ketika sesi siaran langsung di laman sosial, ramai netizen mempersoalkan jawapan Norish yang menyatakan hasrat mahu membeli sebuah kenderaan MPV berjumlah RM150,000 jika menerima RM200,000.

Berdepan kecaman, Aliff dan Norish kemudian tampil menafikan dakwaan menerima wang tunai sebanyak itu hasil sumbangan orang ramai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok