BUSANA yang digayakan penyanyi Aina Abdul di Separuh Akhir AJL40 baru-baru ini menjadi bualan ramai dek keunikannya yang menggunakan material daripada tuala ‘good morning’.
Busana berwarna putih dan merah itu merupakan cetusan idea pereka fesyen tersohor, Melinda Looi.
Menurut Melinda, idea untuk menghasilkan busana menggunakan tuala ‘good morning’ tercetus selepas dia melihat sebuah foto rekaan baju menggunakan corak tuala kegemaran rakyat Malaysia itu.
“Tuala ini sudah digunakan sejak dari zaman nenek kita. Setiap daripada kita mempunyai memori tersendiri dengan tuala ini. Jadi saya cuba mengembalikan nostalgia itu.
“Bila saya beritahu cadangan saya kepada Aina, dia terus setuju. Kami mengambil masa selama lebih kurang dua minggu untuk menyiapkan busana ini.
“Sebanyak 150 helai tuala ‘good morning’ gred AAA digunakan untuk menghasilkan keseluruhan ‘look’ ini.
“Biarpun tukang jahit saya tidak berapa suka baju ini mereka kata dalam banyak-banyak baju Aina, ini yang paling buruk tetapi selepas ‘fitting’ Aina kata ini ‘this is the best dress’,” kata Melinda.
Tambahnya lagi, Aina ialah seorang artis sejati kerana dia mampu untuk menggayakan setiap hasil seni rekaannya dengan baik.
iBagi Aina pula, busana tersebut mempunyai simbolik tersendiri iaitu ibarat kemunculan semulanya selepas lebih setahun tidak muncul di pentas besar.
“Selepas lagu Puas Sudah, orang rasa macam saya sudah berehat. Tuala ‘good morning’ itu ibarat simbol mengatakan bahawa ‘i’m back’,” katanya.
Tuah menyebelahi Aina apabila lagu Kamu ciptaan sepenuhnya oleh Aina sendiri berjaya melangkah ke peringkat akhir AJL40 yang dijangka berlangsung pada Ogos depan. – HIBGLAM
