‘Suka tangan berurat, cantik macam tangan ibu’

DIKRITIK tangan kelihatan lebih berusia berbanding wajah, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha tidak melatah, sebaliknya melihat setiap kedut dan ‘urat’ pada jemarinya sebagai simbol kasih serta kenangan bersama insan tersayang.

Ujar Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 33, dia tidak pernah berasa rendah diri, malah menganggap keadaan tersebut sebagai sesuatu yang cukup bermakna dalam hidupnya.

“Ada yang komen muka nampak muda, tetapi tangan tak boleh sorok. Lucunya, saya sebenarnya paling suka bahagian tangan kerana semua itu mengingatkan saya kepada tangan ibu.

Sejak kecil, saya selalu melihat jari-jemari ibu menari di atas mesin taip, menulis novel demi novel. Tangannya juga tidak pernah berhenti di dapur menyediakan makanan untuk kami.

“Jari-jemarinya halus, lembut, sedikit berurat, tetapi setiap sentuhan penuh makna dan kasih sayang. Saya selalu terfikir, cantiknya tangan ibu,” katanya dalam Threads.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Penat itu mengakui perubahan pada tangan bukan sesuatu yang perlu disembunyikan tetapi diraikan sebagai sebahagian perjalanan hidup.

“Saya tak sabar untuk memiliki tangan seperti itu, tangan yang terbentuk daripada segala pengalaman dan kasih yang saya berikan.

Saya tidak cuba sorokkan tangan yang berurat ini. Bagi saya, ini satu penghormatan apabila tangan saya semakin menyerupai tangan ibu,” ujarnya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai apabila rata-rata netizen memuji keikhlasan bintang drama Projek High Council itu dalam menerima setiap kekurangan sebagai keindahan tersendiri.

Namun, segelintir masih melontarkan pandangan berbeza meskipun pelakon itu kekal tenang dan memilih untuk melihat segala komen dari sudut lebih positif. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok