[VIDEO] Didakwa sakit, Mamat akui video tular jejaskan periuk nasi

VOKALIS Exists, Mamat terkilan dengan sikap segelintir netizen yang merakam dan memuat naik video dirinya tanpa menjelaskan situasi sebenar sehingga mencetuskan spekulasi liar mengenai kesihatannya.

Kata Mamat, rakaman video yang tular baru-baru ini telah menjejaskan periuk nasinya apabila disangka sakit sehingga tidak mampu keluar bekerja.

“Sebenarnya video itu diambil ketika saya balik kampung.  Baru bangun tidur dan bersiap lebih kurang sahaja sebab masih pagi lagi.

“Keadaan waktu itu santai saja. Nama pun berada di kampung sendiri. Tak sangka pula ada yang viralkan tanpa menyatakan apa tujuan sehingga netizen sangka saya sakit.

“Apabila berita itu tersebar, banyak spekulasi timbul dan bagi impak kepada kerja saya. Tak sangka sebab orang kampung bukan tak kenal saya.

“Apabila situasi kurang menyenangkan ini tercetus, selepas ini di kampung pun saya kena berhati-hati,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Exists X Orkestra, semalam.

Pemilik nama sebenar Mohammad Ali Kamaruddin, 45, bersama kumpulanya bakal merealisasikan persembahan mega di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember depan.

Menurut bekas peserta Gegarvaganza itu, dia berharap masyarakat lebih bertimbang rasa dengan tidak sesuka hati merakam dan menyebarkan sesuatu yang boleh membawa fitnah.

Pada masa sama, Mamat turut menitipkan pesanan supaya media sosial dimanfaatkan untuk perkara baik, bukan menjejaskan kehidupan serta kerjaya orang lain.

“Saya tak mahu terjebak dengan kontroversi murahan. Jangan rakam dan sebar kalau sengaja mahu menyusahkan orang atau mendatangkan aib.

“Benda ini menyusahkan saya, bila nak buat persembahan pada masa akan datang, kita pula kena menjawab. Terus-terang saya tak minat.

“Kalau muka tak keluar surat khabar atau jadi bahan berita pun tak mengapa, saya tak hairan,” luahnya yang enggan sejarah lampau jadi ungkitan.

Terdahulu, tular satu video di laman media sosial TikTok seorang pengguna, Mamat Exists menyanyikan lagu Untukmu Ibu.

Namun, keadaan Mamat  yang tampak kurus hingga disangka sakit membuatkan ramai meninggalkan pelbagai komen. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok