‘Saya tumpang gembira, anak-anak dalam persekitaran baik’ 

“SUDAH semestinya saya rindu anak-anak saya tapi sekadar itu sajalah.”

Demikian luahan penyanyi sensasi Aliff Aziz mengenai kerinduannya terhadap anak-anak iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna setelah dua tahun tidak bersua muka.

Bagaimanapun, Aliff, 35, enggan mengulas lebih lanjut kerana tidak mahu kenyataannya disalah ertikan.

“Saya sedang menguruskan dengan cara yang terbaik. Insya-Allah.

Apa-apa pun berkenaan anak-anak saya adalah satu benda yang sensitif.

“Saya tak nak perkara yang kita cuba usahakan yang terbaik ini jadi tak baik hanya sebab saya menjawab atas rasa nafsu,” katanya kepada HibGlam pada acara rumah terbuka iQiyi.

Ditanya sekiranya ada pesanan istimewa buat anak-anak, pelantun lagu Sayang Sayang itu memilih untuk meluahkan sendiri kepada dua permata hatinya itu.

“Itu saya simpan, apabila jumpa insya-Allah saya dapat bercakap sendiri depan Ayden dan Ara.

Biar menjadi mesej bapa kepada mereka. Saya faham semua orang ada hak untuk bertanya tapi saya minta pemahaman daripada semua,” jelasnya.

Dalam masa sama, Aliff teruja melihat perkembangan terkini anak-anaknya yang dianggap membesar dalam persekitaran positif.

“Alhamdulillah, saya rasa mereka berada dalam persekitaran yang insya-Allah baik untuk mereka membesar.

Saya tak pernah lupa doakan mereka. Sebagai bapa, saya gembira melihat mereka gembira.

“Ara pun dah besar, pandai menari. Sebagai bapa, saya akan cuba perbaiki dan uruskan tanggungjawab saya sebaik mungkin,” jelasnya.

Berkenaan pendapat netizen yang melihat persamaan anaknya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, Aliff enggan mengambil pusing isu tersebut selain memohon orang ramai menyebarkan kebaikan.

“Macam saya kata setiap yang dikatakan adalah pendapat. Setiap orang berhak memberikan pandangan mereka.

Saya tak boleh kawal pendapat orang, yang boleh kawal hanyalah reaksi terhadap pendapat orang dan memilih untuk tidak fikir banyak tentang itu.

“Pada akhirnya tak bergeraklah. Minta sangat di bulan baik ini untuk sebarkan kebaikan namun saya tak dapat kawal dan hentikan apa yang orang cakap,”tuturnya lagi.

Untuk rekod, Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan Bella Astillah pada 9 September 2016 sebelum berpisah pada 13 Jun 2024.

Mereka pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.

Hasil perkongsian hidup, Aliff dan Bella dikurniakan dua cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok