PENYANYI Athalia Deena mendedahkan adiknya, Ariana Deena pernah melalui detik hitam apabila dibuli ketika masih bergelar pelajar di sebuah sekolah.
Athalia atau nama sebenarnya Athalia Deena Baswani, 23, mendakwa situasi menjadi lebih parah apabila seorang guru didakwa melampaui batas profesional dengan memantau kehidupan peribadi keluarganya dalam media sosial sebelum menjadikannya bahan sindiran di dalam kelas.
“Pernah sampai tahap melampau, adik saya tak hadir ke sekolah tetapi cikgu itu ‘stalk’ Instagram kami dan mama.
“Keesokan hari di sekolah, dia sindir adik saya di hadapan kelas. Situasi itu sangat toksik sehingga mama buat keputusan cari sekolah lain dan pindahkan kedua-dua adik saya,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu BF Green Flag itu, tekanan dialami memberi kesan emosi mendalam sehingga Ariana mengalami serangan panik serta hilang fokus dalam pelajaran.
“Adik perempuan saya sangat komited dalam akademik, memang antara terbaik dalam keluarga.
“Tetapi di sekolah lama, dia hilang fokus dan mula mengalami kegelisahan setiap kali pulang dari sekolah.
“Ada masa dia tidak mahu ke sekolah kerana tekanan. Selepas berpindah, semuanya kembali baik. Akademik semakin meningkat, dia juga sudah tiada rasa cemas dan nampak lebih gembira,” ujarnya ujarnya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri FYP anjuran Indigitals di sini, semalam.
Menurut Athalia, insiden dialami adiknya berkemungkinan berpunca daripada perhatian terhadap keluarga mereka memandangkan ibu mereka, penyanyi Sharifah Zarina serta dirinya dikenali umum.
“Mungkin tekanan datang sebab mereka ada kakak dan ibu dikenali ramai.
“Saya pesan pada mereka, abaikan orang dengki, tetapi jangan pula berlagak hanya kerana nama keluarga,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, Athalia mengakui pernah berdepan pengalaman hampir sama ketika kecil, malah menerima ugutan bunuh daripada rakan sendiri.
“Sejak kecil saya juga pernah dibuli. Mama pernah datang ke sekolah sebab saya terima surat ugutan bunuh.
“Rupanya surat itu ditulis oleh kawan baik sendiri,” dedahnya.
Terdahulu, Sharifah Zarina meluahkan rasa syukur apabila Ariana meraih keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus membuktikan kejayaan mampu diraih selepas melalui fasa sukar.
Sebelum itu, Ariana juga pernah berkongsi pengalaman dipandang rendah oleh seorang guru sehingga pernah digelar ‘bodoh’ hanya kerana minatnya terhadap nyanyian serta aktif dalam media sosial.- HIBGLAM.
