‘Tapis setiap undangan show, enggan timbulkan sebarang kesulitan’ 

MESKI kes amang seksual masih dalam perbicaraan, penyanyi Naim Daniel menerima lambakan mesej langsung (DM) dalam laman sosial daripada peminat yang merindui persembahannya.

Naim atau nama sebenar Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengakui terharu dengan sokongan peminat namun tetap berpada-pada dalam kerjaya mahupun kehidupannya.

“Saya pun rindu nak mengadakan persembahan. Sebenarnya sepanjang Ramadan serta Syawal banyak juga undangan saya penuhi.

Selain itu saya juga sibuk buat lagu raya untuk artis lain serta banyak lakukan kerja studio. Penerimaan orang pun baik, alhamdulillah.

“Jadi tiada masalah (tapi)  jangan seronok sangat, kena berpada-pada. Saya juga fokus pada hal (kes) ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Naim hadir bersama peguamnya, Mohd. Irwan Sumadi bagi perbicaraan kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 19 Mei lalu.

Pada masa sama, katanya dia tidak mengambil semua tawaran yang diajukan terutama untuk televisyen bagi menjaga sensitiviti pihak berkaitan.

“Cuma untuk kebaikan semua pihak termasuk penganjur acara, saya tapis dulu setiap undangan walaupun kalau nak ikutkan, segala show saya memang buat macam biasa.

Tapi saya tahu kalau melibatkan persembahan besar akan dapat liputan meluas, bimbang jadi buah mulut orang. Bagi penampilan di televisyen pula, saya perlu semak semula dengan pihak stesen.

“Saya enggan timbulkan sebarang kesulitan kepada stesen memandangkan selama ini media dan televisyen banyak menyokong kerjaya saya,” katanya.

Mengakui terkesan dikaitkan dengan kes terbabit, sambutan hari raya tahun ini juga terkena tempias namun dia bersyukur dikelilingi keluarga, sahabat serta pihak pengurusan yang prihatin.

“Nak kata emosi terkawal bagi saya benda itu terlalu subjektif tetapi saya banyak habiskan masa dengan keluarga dan kawan.

Sejujurnya agak terkesan terutama apabila nak bergembira di hari raya bersama keluarga tetapi dalam masa sama perlu memikirkan perbicaraan yang berlangsung selepas raya.

“Alhamdulillah berkat bantuan sokongan semua terutama seluruh ahli keluarga memberikan kata-kata semangat menjadi kekuatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naim tidak menafikan berasa terkilan apabila kumpulannya, MUAH!, digugurkan daripada persembahan  susulan kes mahkamah itu.

“Terkilan juga tapi semua ahli kumpulan berlapang dada dan melihatnya sebagai hikmah.

Saya juga bersyukur kerana mereka mempunyai pekerjaan lain dan tidak bergantung sepenuhnya kepada persembahan.

“Malah, mereka turut hadir memberi sokongan kepada saya dalam prosiding hari ini,” katanya.

Terdahulu, mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 2 April.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok