‘Setiap yang Tuhan tarik, Dia nak beri benda lain’

MEMBESAR dalam sebuah keluarga yang berpecah-belah atau bercerai-berai mempunyai cabaran tersendiri buat mana-mana individu.

Mengakui pernah berada dalam fasa sukar untuk ‘menghadam’ semua perkara yang berlaku dalam hidup, termasuk membesar dalam sebuah ‘broken family’, Diana Danielle, 36, sedar pengalaman lalu membentuknya menjadi seorang individu yang sentiasa bersyukur dalam setiap perkara.

Segala yang berlaku menjadikan dirinya seorang ibu yang sentiasa mementingkan kehidupan anak-anak, Muhammad dan Nur Aurora hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Farid Kamil.

“Ketika kecil, saya pernah mempersoal diri sendiri, sama ada semua yang berlaku adalah salah saya atau sebaliknya.

Namun, selepas memiliki anak, saya perlahan-lahan sedar bahawa setiap orang membuat keputusan yang dirasakan betul untuk mereka sendiri walaupun hakikatnya mungkin tidak.

“Sebab itu saya rasa rugi sangat untuk mana-mana ibu bapa yang abaikan anak-anak sebab mereka yang akan beri kasih sayang kepada kita walau apa jua perkara berlaku,” katanya kepada HibGlam.

SEBAGAI ibu Diana sentiasa meletakkan anak-anak sebagai prioriti hidupnya bahkan akan memastikan buah hatinya itu cukup kasih sayang daripada kedua orang tua,

Tambah bintang filem Imaginur itu, dia sangat terkesan melihat wujud ibu bapa yang sanggup mengabaikan anak-anak terutama selepas melalui fasa perceraian.

“Saya terkilan juga melihat segelintir ibu bapa yang utamakan kepentingan, perasaan dan keadaan diri sendiri berbanding anak-anak.

Bagi saya, walaupun ada pasangan yang tidak lagi bersama, mereka tetap masih boleh beri banyak ruang dan cipta kehidupan indah dengan anak-anak.

“Namun, mereka memilih tidak yang buat, bagi saya itu sangat merugikan.

“Sepatutnya mereka yang boleh putuskan trauma hidup sebelum ini tetapi kita pula memilih meneruskannya, sayang betul,” katanya lagi.

Melalui pengalaman ditinggalkan bapa kandung sejak kecil, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu bersyukur Farid sudah menjalankan peranan sebagai seorang ayah dengan baik setakat ini meski sudah bercerai.

“Saya dengan Farid tidak akan pernah tergamak untuk tinggalkan anak-anak.

Jadi, kami cuma perlu belajar daripada pengalaman ibu bapa sendiri, ambil iktibar dan cuba buat lebih baik.

“Saya bersyukur Farid tidak pernah culas untuk ‘ada’ dalam hidup anak-anak,” ujarnya.

DIANa menyambut 1 Syawal tahun ini bersama ibu dan adiknya, sementara Muhammad dan Aurora beraya dengan Farid.

Katanya, tiada kata-kata indah dapat menggambarkan rasa syukur dikurniakan dua cahaya mata yang sentiasa menzahirkan cinta dan kasih sayang tidak berbelah bahagi buat dirinya.

Jiwa Muhammad dan Aurora penuh dengan rasa cinta pada ibu bapa mereka dan sangat menyokong kerjaya kami.

“Setiap kali saya keluarkan lagu atau Farid ada filem baharu, mereka penyokong nombor satu.

Bukan sahaja pengalaman lalu, Muhammad dan Aurora juga menjadikannya lebih menghargai setiap perkara yang berlaku dalam hidup setiap hari.

“Saya belajar banyak benda, termasuk tentang setiap yang Tuhan tarik dari hidup, Dia nak beri dengan benda lain.

Semua rasa trauma dan kesedihan lalu, Tuhan gantikan dengan kerjaya yang baik serta anak-anak yang sangat baik.

“Muhammad dan Aurora tiada masalah disiplin. Bila ibu bapa lain mengadu tentang anak-anak mereka, saya tak menghadapinya.

Anak-anak saya adalah perkara paling indah pernah saya minta dari Tuhan. Mereka sangat lembut hati dan penyayang. Apa lagi yang perlu saya minta?” ujarnya lagi.

Cinta baharu

Beralih kepada perihal lebih peribadi, Diana yang sebelum ini mengakui sedang mengenal hati budi seorang jejaka berusia 38 tahun menegaskan kehadiran individu itu bukan untuk menggantikan peranan Farid sebagai bapa.

SUDAH ada kekasih hati, Diana Danielle bertegas kehadiran lelaki baharu dalam hidupnya bukanlah untuk mengisi ruang sebagai bapa buat anak-anak.

“Saya tak akan pernah terima sesiapa hanya untuk menggantikan tempat sebagai seorang ayah bahkan anak-anak sudah cukup kasih sayang daripada bapa mereka.

Lucunya, ramai sangka dia muda sedangkan lebih berusia daripada saya. Apa pun hubungan ini berjalan dengan baik setakat ini dan saling menyelami antara satu sama lain,” kongsinya.

Ditanya sama ada akan menapis dahulu setiap lelaki yang cuba mendekatinya, wanita kacukan Melayu-Inggeris itu terbuka untuk mengenali sesiapa sahaja.

“Saya rasa saya seorang yang peramah dan bukan seorang yang tertutup tapi pada masa yang sama masih tahu buat keputusan yang tepat.

Saya jenis terbuka dan berani buat keputusan terbaik untuk saya dan anak-anak.

“Anak paling utama sebab mereka nombor satu dalam hidup saya. Kalau ada sesuatu yang tak kena, saya akan buat keputusan berdasarkan apa yang terbaik untuk keluarga terlebih dahulu,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok