“Alhamdulillah Syamsul sudah pulang dan kembali ke pangkuan keluarga sejak tiga bulan lalu.”
Demikian yang dikongsi penerbit, Datuk Yusof Haslam selepas tular video anak lelakinya yang juga pengarah, Syamsul Yusof pulang beraya ke kediamannya pada 1 Syawal lalu.
Yusof, 71, juga gembira melihat perubahan Syamsul yang semakin positif ketika ini.
“Dia sudah tiga bulan balik tetapi kami tak uar-uarkanlah, kebetulan pada hari raya lalu isteri saya ambil gambar.
“Alhamdulillah saya pun nampak dia dah mula bersemangat balik selain menasihatinya supaya teruskan perjuangan dan jangan patah semangat.
“Kita jangan jadi manusia lemah dan teruskan apa yang sedang dilakukan,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem Malaikat Malam baru-baru ini.
Dia juga menasihatkan pelakon filem Munafik berkenaan agar tidak mensia-siakan bakat yang dikurniakan Tuhan .
“Allah sudah bagi bakat besar, jadi jangan sia-siakan bakat yang Tuhan beri.
“Pandang ke depan dan perlu ‘move on’. Tak boleh halang orang nak kata apa dan tidak usah kurung dan asingkan diri,” ujarnya.
Yusof berkata, isterinya, Datin Patimah Ismail juga gembira melihat perubahan yang ditunjukkan Syamsul ketika ini.
Dia juga memberitahu Syamsul kembali menunjukkan semangat untuk menyiapkan beberapa projek filemnya yang terhenti sebelum ini.
“Dia nak kembali teruskan kerja-kerjanya yang terbengkalai termasuk dua filem iaitu The Original Gangster yang sudah tiga tahun dan mahu disiapkan pada tahun ini.
“Kemudian ada juga filem Khawarij, keluaran Astro Shaw dengan Skop Production. Filem tersebut juga insya-Allah akan disiapkan pada tahun ini yang mungkin tayang hujung tahun ataupun awal tahun depan.
“Saya harap perjuangan dalam bidang ini diteruskan dan segala masalah atau rintangan itu adalah asam garam dalam kehidupan,” ujarnya lagi.
Pada 1 Syawal lalu, nama Syamsul menjadi bualan ramai apabila di dilihat pulang beraya di kediaman ibu bapanya.
Syamsul juga dilihat ceria di samping ahli keluarga lain termasuk adiknya yang juga pengarah, Syafiq Yusof. – HIBGLAM
