‘Semoga berakhir dengan kami mendirikan masjid’

SELEPAS lebih dua bulan dilamar secara peribadi di Gunung Kinabalu, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah kini bergelar tunangan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman pada majlis yang berlangsung di Bamboo Hills, Hulu Kelang, pukul 3.35 petang tadi.

Ikatan perjanjian antara dua keluarga diwakili bapa masing-masing iaitu Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagof bersama Awang Astillah Abdullah@Dullah.

Tepat pukul 3.30 petang, Bella atau nama lengkapnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, turun ke pelamin kecil anggun menggayakan baju kurung rona biru lembut lengkap berselendang.

Lima minit kemudian, ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz duduk di sisi bakal menantunya bagi menyarungkan cincin.

Lebih manis apabila wanita terbabit terlebih dulu mengucup cincin tanda itu sebelum menyarungkan barang kemas tersebut ke jari manis Bella.

Syed Saddiq yang hadir membawa jambangan bunga kepada bakal isterinya muncul segak berbaju Melayu rona sama lengkap bersamping dan bersongkok.

“Doakan dilancarkan urusan kami. Bermula pertunangan ini dan berakhir dengan kami mendirikan masjid,” katanya dalam ucapan ringkas.

Biarpun tidak mendedahkan butiran berkaitan tarikh pernikahan mahupun resepsi, ahli politik itu memberi bayangan hari bersejarah mereka akan berlangsung tahun ini.

Bella yang tampak sebak mendengar ucapan bakal suaminya turut menitiskan air mata.

Sebelum itu, bakal pengantin terbabit bertukar hantaran iaitu lima dulang berbalas tujuh daripada Bella yang juga berkonsepkan Gunung Kinabalu simbolik tempat Syed Saddiq melamarnya pada Januari lalu.

Terdahulu, pasangan yang mula intim sejak awal tahun 2025 itu diraikan sekitar 150 tetamu termasuk selebriti yang hadir berbaju tradisional mengikut tema warna kuning.

Antara yang hadir ialah Fazura, Nora Danish, Elly Suriati, Nabil Ahmad, A Aida, Che Puan Syamim Farid, Betty Rahmat, Harris Baba dan ramai lagi.

Seawal pukul 2 petang lagi ruang acara dikelilingi pepohon hijau serta air terjun buatan itu didatangi jemputan yang teruja berkongsi kegembiraan selangkah ke gerbang perkahwinan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok