‘Bukan majlis pernikahan, mereka ikut adat, bertunang dulu’

MENGINJAK ke fasa bahagia, pelakon juga penyanyi, Bella Astillah bakal bergelar tunangan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dalam sebuah majlis sekitar pukul 3 petang ini.

Perkara tersebut didedahkan sumber yang mengesahkan majlis pertunangan pasangan sensasi  itu akan berlangsung di sebuah premis acara di ibu negara.

“Petang ini bukan majlis pernikahan, sebaliknya mereka ikut adat dengan bertunang dulu, barulah bernikah dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Tarikh nikah saya tak boleh dedahkan, tunggu sahaja pengumuman mereka. Cuma yang saya boleh katakan persediaan untuk pasangan itu disatukan sudah dijalankan termasuk tempah venue resepsi serta ‘locked’ MUA (jurumekap) berbeza untuk nikah dan sanding.

“Sebelum ini ada pihak dakwa Bella dan Syed Saddiq bertunang di luar Lembah Kelang, tapi sebenarnya di sini, sebab ahli keluarga terdekat Bella dari Sabah juga sudah ada di sini,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sementara itu, sejak beberapa minggu lalu laman sosial kecoh memperkatakan kemungkinan pasangan yang digelar BASS itu bakal disatukan pada 28 Mac 2026.

Menguatkan lagi spekulasi apabila netizen ternampak set hantaran ketika ahli politik itu bersalaman dengan ahli keluarga di pagi Syawal.

Sebelum ini beberapa selebriti juga memberi ‘bayangan’ awal bahawa tema busana hari istimewa pasangan terbabit adalah berwarna kuning.

Mengesahkan lagi khabar angin apabila semalam, abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq iaitu Space Dollah turut berkongsi bayangan berhubung berkenaan majlis rahsia hari ini.

Menerusi satu potongan video, Dollah yang juga pempengaruh popular itu teruja menerima ‘hadiah’ daripada Bella terlepas ungkapan ‘welcome to the family’, sekali gua memberi tanda wanita terbabit bakal menjadi ahli keluarganya dalam tempoh terdekat.

Sehingga pagi ini, laman sosial kedua-dua personaliti popular itu dibanjiri ucapan tahniah daripada netizen yang mendoakan agar majlis istimewa mereka berjalan lancar.

Begitupun, kedua-dua pihak masih mengunci mulut dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung spekulasi yang bertebaran. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok