‘Kalau ada jodoh, kahwin terus kemudian baru bercinta’

KINI dalam fasa saling mengenal hati budi, aktor Que Haidar menegaskan hubungannya bersama Fazura ketika ini adalah hanyalah sebagai sahabat baik.

Meski mengaku selesa dengan hubungan persahatan bersama Fazura yang sudah lama dikenalinya, Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, berkata, fokus utamanya ketika ini adalah kerjaya dan bisnes.

“Kami ini memang sudah kenal dan berkawan lama sejak masuk industri lagi. Dahulu pernah juga keluar bersama dengan rakan-rakan yang lain.

“Jadi, bila ada kerja bersama sekarang ini, kami jadi lebih rapat dan sudah selesa bersama.

“Saya boleh gelar dia sebagai sahabat yang saling menyokong kerjaya masing-masing,” katanya kepada HibGlam  ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem terbaharu lakonannya, Malaikat Malam di sini, semalam.

Ditanya mengenai kemunculan Fazura pada majlis tayangan perdana filem tersebut, dia memberitahu kehadiran aktres berkenaan adalah atas atas jemputannya sendiri.

“Dia datang hari ini (semalam) untuk sokong kerjaya saya.

“Saya yang ajak untuk tonton filem ini bersama dan dia boleh,” katanya lagi.

Bekas suami jurulatih tarian, Linda Jasmine berkenaan juga memberitahu masih tiada sebarang perancangan untuk kembali mendirikan rumah dalam tempoh terdekat dengan mana-mana wanita.

“Sekarang saya memang sibuk dan beri fokus sepenuhnya pada perniagaan dan juga kerjaya, belum terfikir mahu berkahwin.

“Bagi saya, untuk fasa bercinta, sepatutnya selepas berkahwin. Kalau ada jodoh dengan mana-mana wanita, kahwinlah dahulu dan kemudian bercinta selepas itu.

“Kalau betul sayangkan seseorang, saya akan terus kahwin dulu,” ujarnya.

Semalam, Fazura menjadi perhatian ramai apabila hadir ke majlis tayangan gala Malaikat Malam yang turut dibintangi Que.

Selain Que, Malaikat Malam yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara hari ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Kodi Rasheed dan Amir Nafis.

Terdahulu, kemesraan hubungan Que dan Fazura menjadi bualan ramai selepas kedua-duanya dilantik sebagai duta dan bekerjasama mempromosikan sebuah jenama tesktil tempatan.

Hubungan mesra mereka turut membuatkan ramai mula ‘menjodohkan’ pasangan sahabat itu selain tercetus tanda pagar #QuelaFaz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok