Wajah Siti terpampang di Times Square, New York kali kedua

BIDUANITA Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dipilih buat kali kedua sebagai wakil kempen Spotify EQUAL Singapore dan Malaysia bagi edisi Mac 2026 apabila wajahnya tampil di layar digital gergasi Times Square New York, Amerika Syarikat (AS).

Sebagai figura yang cukup berpengaruh, Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, memanjatkan kesyukuran atas rezeki yang disifatkan sebagai satu penghormatan besar sekali gus mengangkat suara wanita Asia Tenggara ke pentas dunia.

“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki ini.

“Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapore dan Malaysia merupakan satu penghormatan yang sangat besar buat saya.

“Ini bukan sekadar kejayaan individu, tetapi satu mesej bahawa suara wanita mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia,” katanya.

Tegasnya, kualiti dan identiti seni yang kuat jauh lebih penting berbanding mengejar populariti singkat dalam media sosial.

“Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti.

“Identiti yang kuat dan disiplin dalam menjaga vokal akan memastikan anda kekal relevan merentas zaman.

“Hargai peminat anda kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana,” jelasnya lagi.

Kempen Spotify EQUAL adalah inisiatif global Spotify yang bertujuan memupuk ekuiti bagi wanita dalam industri muzik dan memperkasakan pembabitan mereka di peringkat antarabangsa.

Pemilihan semula Siti sebagai wajah kempen bukan sahaja mencerminkan pencapaian luar biasa, malah menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus memperkasakan martabat wanita dalam industri muzik antarabangsa.

Sebelum ini, wajah Siti menghiasi layar digital gergasi Times Square New York, AS pada tahun 2022.

Antara penyanyi yang pernah menjadi sebahagian penghias layar digital gergasi Times Square New York, AS ialah Yuna, Misha Omar, Ernie Zakri, Marsha Milan, Kaka Azraff, Aisha Retno, Layla Sania, Vanessa Reynauld, Dolla, Iman Troye dan Aina Abdul. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok