DILABEL artis ‘sendu’ dan tidak semenggah oleh seorang individu berstatus datin, penyanyi dan pelakon Azza tampil memohon maaf selain memilih untuk enggan memanjangkan isu tersebut.
Azza atau nama sebenarnya Noor Azzarima Zawari, 49, mengakui dirinya mungkin tidak memenuhi jangkaan segelintir pihak, namun lebih selesa menjalani kehidupan sederhana tanpa perlu mengejar persepsi manusia.
Maaf jika saya tidak bersalaman dengan datin atau sebagainya. Mana mungkin orang seperti saya hendak mendekati golongan T20.
“Saya ada rasa rendah diri. Soal ‘sendu’, saya terima sahaja. Usia begini tidak mungkin sama seperti ketika berumur 20 tahun,” katanya dalam Threads.
Tambah anggota kumpulan Elite itu, fasa kehidupannya kini lebih tertumpu kepada ketenangan jiwa berbanding kemewahan atau perhatian umum.
“Ketika umur 20 tahun, mungkin kita berada di kemuncak. Masuk usia 40-an, eloklah lebih sederhana.
“Masa sekarang lebih baik diluangkan bersama keluarga, ke masjid dan berniaga untuk kelangsungan hidup.
Saya tidak bergantung dengan sesiapa. Rezeki saya usaha sendiri. Gelaran artis tidak akan dibawa ke kubur. Jadi lebih baik hidup tenang,” ujarnya.
Kenyataan tersebut meraih pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan rata-rata tampil mempertahankan pelakon filem Bujang Senang itu selain memuji sikap rendah dirinya.
“Tak semua orang mahu hidup glamor. Cara Kak Azza ini lebih realistik dan tenang.
Sendu pada pandangan orang, tapi sebenarnya itu tanda matang dan tahu hala tuju hidup.
“Yang penting rezeki halal dan hati tenang. Tak perlu pun kejar perhatian orang,” tulis beberapa netizen.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pihak berpendapat penampilan sebagai selebriti perlu dijaga memandangkan status tersebut menjadi perhatian umum.
Terdahulu, kecoh dalam media sosial apabila seorang individu berstatus Datin mendakwa Azza sebagai artis tidak semenggah selain menyifatkan penampilannya kelihatan ‘sendu’ selepas bertemu secara bersemuka. – HIBGLAM
