‘Raikan sahaja lambakan lagu raya, masing-masing ada keunikan’

MELIHAT trend melancarkan lagu raya, penyanyi Izzue Islam berharap orang ramai tidak cepat melatah atau membandingkan karya-karya yang dihasilkan penggiat seni.

Sebaliknya, Izzue atau nama lengkapnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, berpendapat bahawa setiap naskhah yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri termasuk lagu raya baharunya berjudul Dulu Kini Raya.

“Bagi saya kita patut raikan sahaja apa juga lagu raya yang dihasilkan. Setiap karya ada keunikan tersendiri.

Lagu raya kami, Dulu Kini Raya boleh diterima ramai kerana ada elemen moden dan tradisional.

“Harap pendengar boleh terima lagu ini. Kalau tahun ini mereka belum suka, mungkin tahun hadapan akan suka,” katanya kepada HibGlam semasa sidang media Dulu Kini Raya di The St. Regis, Kuala Lumpur kelmarin.

Ditanya adakah bersedia berdepan kritikan netizen, bekas kumpulan Forteen itu mengakui sudah lali dan tidak pernah membiarkan kata-kata negatif mematahkan semangatnya untuk terus berkarya.

“Saya okey sahaja dan terbuka menerima apa saja pandangan. Sebenarnya saya sudah bersedia sejak lebih 10 tahun lalu kerana sudah terbiasa.

Ada juga yang kata suara saya biasa tetapi masih sibuk mahu menyanyi. Namun, kata-kata itu tidak pernah menjatuhkan semangat saya.

“Bagi saya, perkara tersebut tidak menghalang untuk terus berkarya. Kalau tidak suka, tak mengapa tetapi saya harap lama-kelamaan mereka boleh menerima,” jelasnya.

Berkongsi mengenai Dulu Kini Raya yang berkolaborasi bersama pempengaruh Dehaniff, Izzue memaklumkan keputusannya melancarkan lagu raya setiap tahun adalah untuk menghidupkan suasana perayaan.

“Saya tak mahu ketinggalan, tahun lepas pun saya ada lancarkan single raya.

“Ramadan sememangnya masa tepat untuk terbitkan lagu raya. Awal puasa ramai artis sudah mula rancak mempromosikan lagu masing-masing.

Tak boleh jadi, saya pun kena ada juga lagu raya untuk memeriahkan lagi industri muzik,” tuturnya.

Dulu Kini Raya ciptaan bersama Firaus Rahmat dan John Jeeves boleh distrim di semua platform digital bermula 11 Mac lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok