Cikgu matematik viral, Sir Race lancar lagu raya

GURU matematik yang mencuri perhatian ramai di media sosial, Sir Race tampil dengan kejutan istimewa sempena Aidilfitri tahun ini apabila melancarkan lagu raya berjudul Bah Selamat Hari Raya.

Lagu berkenaan diterbitkan dengan gabungan kemeriahan lagu raya tradisional bersama elemen pop moden yang dipengaruhi gaya K-pop, sekali gus memberikan nafas segar kepada karya bertemakan Hari Raya.

Menariknya, karya ini turut mengekalkan identiti Sabah yang unik melalui penggunaan perkataan ikonik seperti ‘Bah’, yang cukup sinonim dalam pertuturan masyarakat negeri tersebut.

Menurut Sir Race, idea menghasilkan lagu ini tercetus apabila menyedari tidak ramai artis dari Sabah yang tampil dengan lagu raya yang benar-benar membawa identiti negeri itu ke peringkat nasional.

Saya perasan tidak ramai artis dari Sabah yang menghasilkan lagu raya yang menonjolkan identiti negeri kami. Jadi saya ambil inisiatif untuk menghasilkan sebuah lagu yang ceria, moden dan pada masa sama mengekalkan elemen Sabahan seperti penggunaan perkataan ‘Bah’ yang cukup dekat dengan masyarakat di sana,” katanya.

Lagu Bah Selamat Hari Raya menampilkan konsep muzik yang ceria dan mudah diingati, sekali gus menjadikannya sesuai dinyanyikan bersama oleh pelbagai lapisan masyarakat sepanjang musim perayaan. Gabungan elemen muzik raya dengan sentuhan pop moden dan vibe K-pop turut memberi kelainan tersendiri kepada lagu ini.

Turut menyahut kemeriahan hari raya, Sir Race muncul dengan lagu berjudul Bah Selamat Hari Raya.

Keunikan lagu tersebut turut diperkukuhkan dengan koreografi tarian ringkas yang berpotensi menjadi trend atau cabaran di media sosial seperti TikTok, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk turut sama memeriahkan lagu berkenaan secara kreatif di platform digital.

Muzik video lagu ini juga menampilkan suasana Aidilfitri yang meriah, penuh warna-warni serta sarat dengan elemen kekeluargaan. Lebih menarik, ia turut menampilkan kemunculan istimewa penyanyi dan pelakon muda, Alyssa Dezek sebagai cameo dalam muzik video berkenaan.

Buat pelajar

Dalam pada itu, Sir Race turut mendedikasikan lagu ini secara khas kepada pelajarnya dari Tingkatan satu hingga lima, selain komuniti pelajar serta ibu bapa yang sentiasa menyokong program pendidikan di bawah PTTI Group.

“Lagu ini saya dedikasikan khas buat semua pelajar saya dari Tingkatan satu hingga lima, serta komuniti pelajar dan ibu bapa yang sentiasa menyokong PTTI selama ini. Saya harap lagu ini dapat menggembirakan mereka selepas melalui perjalanan akademik yang mencabar sepanjang tahun,” katanya lagi.

Tambah Sir Race, harapannya agar Bah Selamat Hari Raya dapat menjadi antara lagu yang menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini serta mengeratkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Lagu Bah Selamat Hari Raya dilancarkan secara rasmi pada 13 Mac 2026, kini boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify. Lagu ini turut diedarkan oleh Sony Music Malaysia.

Video muzik rasmi lagu Bah Selamat Hari Raya boleh ditonton di saluran YouTube Sony Music Malaysia Vevo. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok