DI sebalik perdebatan ramai mengenai kualiti lagu raya, penyanyi Ernie Zakri mengambil pendekatan menyifatkan muzik sebagai sesuatu yang universal dan tidak seharusnya dihadkan mengikut acuan tertentu.
Menurut Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, setiap pendengar mempunyai cita rasa yang berbeza dan tidak adil untuk melabelkan sesebuah karya itu sebagai betul atau salah sehingga boleh menyekat kreativiti pengkarya.
“Muzik ini terlalu universal, jika kita nak menjelaskan sesuatu itu betul atau salah, takut nanti jadi had pada sang pengkarya.
Baju raya kita pun ada cita rasa lain-lain, apatah lagi muzik. Berseronok saja, raya ini kita nak gembira okey?,” katanya dalam Threads.
Bagi menyokong pendapatnya, isteri kepada penyanyi Syamel itu turut memberikan contoh lagu raya ikonik nyanyian Amy Mastura yang suatu ketika dahulu dianggap moden namun akhirnya berjaya diterima baik masyarakat.
“Lagu raya mana-mana pun okey, yang sesuai dengan cita rasa seronok saja.
“Yang tak ‘feel’ kita cari lagu lain okey?
“Kalau zaman dulu, lagu raya Setahun Sekali nyanyian Amy Mastura agak moden jika dibandingkan dengan karya lain. Tapi tetap diterima masyarakat dulu,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, pelantun lagu Masing Masing itu menegaskan kenyataannya bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
“Kena ‘disclaimer’ siap-siap. Tiada kaitan dengan mana-mana pihak okey.
“Saya dan suami melancarkan lagu raya juga. Nak seronok-seronok sudi-sudilah mendengar tau,” tuturnya lagi.
Sebelum ini, Ernie dan Syamel melancarkan lagu raya berjudul Suasana Raya yang muzik videonya dirakamkan di Hong Kong. – HIBGLAM
