Tak layak komen, saya tak terlibat dalam drama itu – Fasha Sandha

BARU sahaja ditayangkan pada 4 Februari lalu, drama Sujud Terakhir Encik Norman mencetuskan amarah orang ramai gara-gara adegan panas dilakonkan Trisha Ooi dan Aidil Aziz.

Walaupun dikaburkan, babak yang memperlihatkan Trisha dan Aidil seolah-olah sedang bercumbu dalam sebuah kereta tetap mengundang kecaman kerana  ditayangkan di televisyen yang ditonton secara umum termasuk anak kecil pada bulan Ramadan.

Isu itu menjadi perdebatan terutama dalam kalangan netizen di media sosial yang rata-rata beranggapan adegan sedemikian bertentangan dengan norma masyarakat tempatan.

Meski Aidil tidak memberi sebarang kenyataan berhubung isu itu, pelakon Trisha Ooi atau nama sebenarnya,Reyshqa Aqiera Mohd. Nasron Ooi, 27,  dalam satu kenyataan kepada media menegaskan babak tersebut tidak keterlaluan seperti yang diperkatakan sebaliknya hanya mengikut kehendak skrip.

“Kami tidak lebih-lebih dalam adegan itu. Apatah lagi watak saya dalam drama itu memakai tudung dan kami cuba menggambarkan perkara yang bersesuaian dengan karakter itu.

“Berhubung babak tersebut ditayangkan pada bulan Ramadan, itu di luar kawalan saya,” ujarnya.

Simbolik

Sambung Trisha, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon, namun soal tayangan dan suntingan bukan di bawah bidang kuasanya. 

Tidak seperti dibayangkan penonton, kata Trisha adegan itu dilakukan dengan teknik kamera.

“Babak kerusi jatuh hanyalah simbolik kepada situasi itu,” tuturnya yang menerima secara terbuka segala kritikan yang dilemparkan netizen.

Dalam pada itu, dia berharap penonton menonton keseluruhan cerita kerana terdapat pengajaran di sebalik drama berkenaan.

Beri masa – Fasha

Sementara itu, aktres Fasha Sandha yang juga isteri kepada Aidil memohon memberikannya sedikit masa sebelum memberi sebarang komen berhubung isu melibatkan suaminya.

“Saya belum sempat menonton episod tersebut kerana sibuk dengan persiapan drama terbaru. Apapun terima kasih kerana mereka (netizen) menegur untuk kebaikan.

“Sejujurnya, saya tidak layak untuk beri komen kerana tidak terlibat dalam drama tersebut,” jelas Fasha ketika ditanya media baru-baru ini.

Dalam keadaan dunia hiburan yang kian terbuka dengan pelbagai pendekatan penceritaan, perdebatan seperti ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap kandungan yang disajikan di kaca televisyen.

Meski semakin moden, satu hal yang pasti tontonan di Malaysia ada garis panduannya.

Biarpun tidak diperjelaskan secara terang oleh badan berwajib, tetapi logik akalnya penonton Malaysia masih waras memilih karya yang  sesuai ditonton seisi keluarga pada bulan Ramadan.

Dan benar, tayangan di bulan Ramadan bukanlah dalam bidang kuasa pelakon, mungkin selepas ini pihak stesen televisyen perlu lebih cakna kandungan yang sesuai ditayangkan khas untuk bulan mulia ini.

Ya, rating diperlukan dan dengan sensasi seperti ini sudah tentu menarik perhatian orang ramai untuk menonton naskhah ini. Cuma, jika boleh janganlah ditambah dosa penonton tanpa sengaja.

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok