Citra Reka Busana 2.0 angkat evolusi seni ke pentas global 

KEJAYAAN penganjuran program Citra Reka Busana pada tahun lalu menjadi pemangkin utama untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan penganjurannya tahun ini dengan skala yang lebih besar, segar, dan berimpak tinggi.

Program yang bakal bersiaran sempena ulang tahun ke-80 RTM ini bukan sekadar sebuah rancangan televisyen, malah menjadi simbol kesinambungan komitmen stesen penyiaran nasional itu dalam memartabatkan evolusi seni dan budaya tempatan buat tatapan generasi akan datang.

Tercetus daripada ilham kreatif bekas Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman, Citra Reka Busana 2.0 menjadi wadah untuk meraikan identiti Malaysia menerusi busana, seni, dan ekspresi kreatif.

Menjadi program akhir sebelum melepaskan jawatan, Suhaimi melahirkan rasa bangga terhadap komitmen tinggi warga kerja RTM yang berjaya menterjemahkan ilham kreatifnya ke sebuah platform yang cukup unik.

“Saya rasa sangat bangga dengan team kita yang ada, mereka bekerja keras untuk menjayakan program ini dan saya rasa ini kalau tak menang apa saya tak tahulah macam mana sebab saya rasa sangat unik dan dia mengangkat budaya kita. 

Inilah salah satu produksi di RTM yang bakal kita eksport ke luar negara sebenarnya tapi kita kena menghasilkannya dalam bentuk yang lebih komersial, ada budaya pop dan pada masa yang sama boleh mengetengahkan budaya kita,” katanya. 

Mengambil inspirasi daripada kempen Tahun Melawat Malaysia, penganjuran kali ini menampilkan konsep set yang ikonik dengan suasana di sebuah lapangan terbang, melambangkan keterbukaan Malaysia dalam menyambut dunia melalui jendela seni.

“Sebab tahun melawat Malaysia, maka kita buat set seakan-akan dalam satu lapangan terbang. Jadi maksudnya kalau mereka datang ke Malaysia, mereka dapat melihat budaya kita. 

“Jadi semua kita tonjolkan bagaimana kita menggunakan budaya kita dan usaha untuk menghasilkan benda yang lebih kontemporari. 

“Dengan ada persembahan yang sungguh padu, kita cantumkan nyanyian, muzik dan juga peragaan. Jadi saya rasa konsep kita berjaya,” jelasnya lagi. 

Berkongsi mengenai cabaran dalam dunia penerbitan, Suhaimi menekankan kepentingan untuk sentiasa berfikir di luar kotak demi meningkatkan nilai tambah dalam sesebuah produksi.

“Saya rasa taklah banyak sangat cabaran apa. Yang paling penting sekali adalah kita sentiasa berfikir. 

“Kalau kita melihat sesuatu, kita tengok macam mana kita nak menambah baik, bagaimana kita nak menjadikannya lebih menarik. 

Jadi setiap orang dalam dunia produksi dan penerbitan, mereka perlu ada pemikiran yang sedemikian sebab kalau tidak, kita akan buat benda-benda yang sama berulang-ulang kali dan tidak menghasilkan apa yang yang dikehendaki. 

“Jadi di sini kita kena fikir, apakah cara baru yang kita harus buat untuk meningkatkan produksi kita, nilai tambah, ya. Kita beritahu, mendidik dan juga menghiburkan.”

Ditanya mengenai kesinambungan program tersebut pada masa hadapan, Suhaimi menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada pasukan kreatif RTM untuk terus mengemudi idea asal yang dicetuskannya.

“Terpulang kepada mereka sebab saya cuma mencetuskan idea dan konsep. Saya tulis skrip. 

“Tapi yang lain itu rakan-rakan saya di RTM yang buat. Jadi saya rasa kesinambungan itu terpulang kepada mereka. 

“Saya rasa yang paling penting sekali adalah kita berjaya menghasilkan program yang hebat atas semangat setia kawan dan ini adalah kerjasama pasukan sebenarnya,” tutupnya. 

Sepanjang dua jam, Citra Reka Busana 2.0 yang bakal bersiaran pada 1 April kelak di TV2 dan RTMKlik menyaksikan sebuah persembahan fesyen muzikal berskala besar yang menggabungkan keindahan seni busana tradisional Malaysia dengan elemen muzik, tarian dan persembahan pentas moden. 

Pentas digamatkan dengan kehadiran barisan penyanyi antaranya Anuar Zain, Marsha Milan, Aisha Retno, Wany Hasrita, Nourul Depp, Azharina Azhar dan Haziq Rosebi. 

Tidak ketinggalan, bintang seperti Wani Kayrie, Datuk Nora Ariffin, Rahimah Rahim, Aizat Amdan, Hisyam Rahim (Bintang Klasik) dan Megat Qalif  (Bintang Kecil). 

Persembahan artis menghidupkan pentas melalui gabungan muzik secara langsung, orkestra dan koreografi dramatik yang menyatu dengan peragaan busana eksklusif. 

Fokus utama diberikan kepada kehalusan dan keunikan Keringkam, Songket dan Batik yang diolah semula dalam rekaan kontemporari pereka fesyen tempatan termasuk bakat baharu dari institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok