DISINDIR masih ligat di laman sosial, Shila Amzah bertindak menempelak netizen yang mempersoalkan tindakannya menggunakan Instagram.
Penyanyi itu menyifatkan sikap golongan pembuli siber ada kaitan dengan kehidupan lampau mereka apabila suka mempersendakan orang lain.
“Seronok mempersendakan orang lain? Di mana sikap peka anda? Adakah anda membesar dalam persekitaran yang buruk sehingga menjadi pembuli di media sosial?
“Saya tidak akan menyalahkan ibu bapa anda. Kekurangan adab anda mengatasi kecerdikan anda.” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram Story.
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 33, membangkitkan perkara tersebut menerusi ruangan soal jawab dalam laman sosialnya.
Kelmarin, penyanyi berkenaan mengeluarkan kenyataan akan berhenti menggunakan media sosial buat sementara waktu.
Keputusan itu diambil kerana dia berasakan media sosial platform yang terlalu toksik untuk dirinya.
Difahamkan, kenyataan berkenaan dibuat berikutan rasa kecewa terhadap komen netizen yang mengkritik pakaiannya ketika beraksi di Konsert HausBoom Music 2023, baru-baru ini.
Pada acara hiburan yang menyaksikan kemunculan ramai penyanyi itu, pelantun lagu Memori Tercipta terbabit menggayakan baju kemeja merah jambu di luar dan kemeja-T polos putih di bahagian dalam yang dikatakan terlalu ketat. – HIBGLAM