PELAKON Amyra Rosli bersyukur keadaan kesihatannya terutama pada bahagian perut semakin pulih selepas menjalani pembedahan akibat komplikasi apendiks Januari lalu.
Amyra atau nama penuhnya, Nur Amira Izzati Rosli, 35, bagaimanapun masih belum berpeluang untuk berpuasa penuh pada Ramadan kali ini kerana perlu mengambil ubat yang diberikan doktor.
“Ada beza Ramadan kali ini sebab tak dapat puasa penuh lagi sebab masih makan ubat.
“Selepas pembedahan, pemakanan lebih baik berbanding sebelum ini. Kalau makan sambal, orang lain cakap tak pedas tapi bagi saya sudah sangat pedas.
“Sebelum ini suhu badan macam tak okey, tangan dan kaki selalu sejuk dan berpeluh-peluh tetapi sekarang sudah okey serta normal,” kepada HibGlam baru-baru ini.
Kongsinya lagi, antara simptom yang dialaminya adalah sakit perut yang terlampau sehingga menyukarkan aktiviti harian.
“Pernah satu hari saya sakit perut sampai tak boleh berdiri tegak dan ketika tidur pula perut seperti kena hiris dengan pisau.
“Itu antara asbab Amar bawa saya ke hospital dan doktor maklumkan perlukan jalankan pembedahan sebab apendiks nak pecah sebab sudah bengkak,” katanya lagi.
Tambah Amyra, sakit yang dialami mengajarnya untuk lebih peka dengan tubuh badan sendiri meskipun mengalami demam biasa.
“Saya nak nasihatkan kepada semua orang agar ambil tahu dengan badan sendiri terutama kalau sudah ada ‘alarm’ atau amaran pelik-pelik, tolong jangan abaikan dan pergi lakukan pemeriksaan.
“Jaga pemakanan dan janganlah anggap main-main sebab penyakit bermula daripada demam dan benda-benda kecil.
“Kalau tak ada apa-apa alhamdulillah tapi sekiranya benda lain dan lambat dapatkan rawatan, panjanglah cerita dia. Jangan sesekali ambil ringan sebab zaman sekarang ada macam-macam bakteria dan virus,” jelasnya.
Terdahulu, suami Amyra iaitu Amar Bahrin pada akhir Januari lalu memaklumkan isterinya selamat menjalani pembedahan akibat komplikasi apendiks. – HIBGLAM
