“JANGAN kecam dia, itu Kak Long saya.”
Demikian respons penyanyi Amad apabila rakan seperjuangannya Marsya Q menjadi sasaran kecaman kerana dianggap tidak menyerlah meski bergelar juara program Talk To My Manager (TTMM).
Simpati dengan nasib Marsya, Amad atau nama asalnya Ahmad Dayyan, 14, menghubungi sahabatnya itu bagi memberikan sokongan moral.
Saya kasihan dekat Kak Long saya, dia dapat nombor satu (dalam TTMM) dan saya sokong dia. Dia sekarang tengah belajar.
“Saya ada hubungi dia setiap hari dan bagi semangat agar tidak pedulikan cakap-cakap orang. Teruskan apa yang kita nak buat.
Dia tak ada mengadu, ‘down’ atau kongsi apa-apa cuma bila saya tengok dalam IG (Instagram), saya rasa macam dia perlukan pertolongan dan terus hubungi dia.
“Saya cakap dengan dia, saya dan kawan-kawan TTMM ada di sini. Kami sayang Kak Long,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas isu buli siber, pelantun lagu Mendewasa itu mengakui dirinya turut menjadi mangsa netizen tetapi memilih untuk tidak melayan perkara yang boleh mematahkan semangatnya.
“Buli siber? Macam-macam saya kena. Saya okey dan tak terasa pun sebaliknya lagi bagi semangat dekat saya.
Kadang-kadang saya baca komen, paling pedih sekali adalah ‘Amad jangan menyanyi nanti pengsan’.
“Saya hanya sebut alhamdulillah kalau orang kecam dan tak ambil peduli pun. Dah biasa dengan kecaman, setakat ini tak pernah ‘down’ lagi,” ujarnya.
Tidak cukup dengan buli siber, anak kepada penyanyi Siti Sairah itu turut mendedahkan diejek secara berdepan.
Dekat luar ada yang cakap depan-depan juga. contohnya dekat sekolah, cikgu suruh menyanyi tapi orang lain beritahu jangan menyanyi nanti pengsan dan sakit bahu.
“Habis kelas, mereka minta maaf. Saya tahu mereka main-mainkan saya dan tak terasa langsung,” jelasnya.
Sebelum ini, segelintir pihak membandingkan anak kepada penyanyi Liza Hanim dengan peserta lain berikutan kurang menerima tawaran kerja.
Liza membuat laporan polis susulan tindakan segelintir individu membuli anaknya di media sosial.
Pelantun lagu Gelisah Mimpi itu turut mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun terlibat. – HIBGLAM
