‘Promosi budaya melalui pakaian’

GABUNGAN seni silat dan tarian zapin dalam persembahan flashmob di perkarangan pusat beli-belah terkenal, Pavilion Bukit Bintang, baru-baru ini menjadi pendekatan kreatif dalam memperkenalkan jenama pakaian lokal, Keris & Co.

Menurut pengasas Keris & Co, Hanzat Azmi, 31, pendekatan flashmob dipilih sebagai medium memperkenalkan jenama dalam suasana santai, segar dan lebih dekat dengan masyarakat.

“Kami memilih silat dan zapin kerana ia cukup sinonim dengan budaya Melayu. Apabila digabungkan dengan persekitaran moden seperti Pavilion, ia mewujudkan suasana yang unik dan menarik perhatian ramai,” katanya.

Persembahan yang berlangsung secara spontan itu berjaya mencuri tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong asing sekali gus memperkenalkan identiti jenama yang mengangkat elemen tradisional dalam gaya kontemporari.

Dalam masa yang sama, sempena bulan Ramadan, sebanyak 100 helai baju kurta turut diagihkan secara percuma kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada inisiatif jenama tersebut.

Tambah beliau, pemberian baju percuma itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri kualiti dan keselesaan pakaian yang ditawarkan sejak penubuhan jenama itu pada tahun 2024.

“Kurta yang diberi secara percuma boleh digayakan oleh lelaki dan perempuan. Bagi wanita, ia boleh dipadankan dengan kain untuk tampil seperti baju kurung Kedah. Selain orang tempatan, saya juga melihat ramai pelancong asing teruja mendapatkannya, sekali gus membuka ruang memperkenalkan budaya kita kepada mereka,” ujarnya.

Kualiti premium, harga mampu milik

Meskipun jenama ini masih baharu, Hanzat menjelaskan pihaknya mempunyai visi jelas untuk mengangkat baju Melayu sebagai pakaian yang versatil dan tidak terhad kepada musim perayaan semata-mata.

“Matlamat saya adalah untuk menjadikan Keris & Co sebagai pilihan utama rakyat Malaysia. Koleksi kami terutama baju Melayu menggunakan fabrik ‘Japanese Cotton’ yang premium, selesa dan sesuai dengan cuaca di negara ini.

“Keistimewaan kami terletak pada fabrik berkualiti yang tidak mudah berbulu, namun masih ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM39 hingga RM129,” katanya.

Setakat ini, Keris & Co menawarkan lebih 40 pilihan warna merangkumi lebih 18 koleksi dan jualan dilakukan sepenuhnya secara dalam talian menerusi platform TikTok, Shopee serta laman web rasmi.

Dalam perancangan jangka panjang, jenama itu juga berhasrat untuk memperluaskan operasi dengan membuka outlet fizikal bagi memberi pengalaman membeli-belah yang lebih dekat kepada pelanggan.

Selain itu, Keris & Co yang turut menembusi pasaran Singapura dan Brunei merancang untuk memperkenalkan koleksi pakaian wanita pada masa akan datang, sekali gus memperluaskan segmen pasaran dan menjadikan jenama tersebut lebih inklusif. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok